Jurnal Pertanian dan Penternakan Online

Informasi dan jualan produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Arkib bagi Kategori ‘lembu’

Zamzuree bangkit selepas kecundang

Posted by integratedfarm di Ogos 21, 2009

Seorang pekerja memasukkan telur masin yang siap diproses ke dalam plastik.



MEMANG ramai sebenarnya di dunia ini yang boleh bercerita bagaimana mereka tidak akan berjaya jika tidak menemui kegagalan terlebih dahulu.

Zamzuree Zakaria, 43, ialah seorang daripadanya yang menjadikan pengalaman kecundang sebagai pengajaran amat berguna untuk bangkit semula dan muncul sebagai antara pengimport dan pengeksport lembu secara komersial terbesar di negara ini.

Dengan berbekalkan modal hanya RM40,000 pada tahun 2000, yang sekadar mampu mengimport 28 ekor lembu dari Australia, kini pengusaha lembu yang juga Pengarah Syarikat Mahaderas Sdn. Bhd. ini sudah memiliki aset semasa lebih RM4.9 juta.

”Ini termasuk kandang dan peralatan yang membabitkan kawasan seluas 8.7 hektar di Kampung Jelor, Pasir Puteh,” katanya kepada ketika ditemui di ladangnya di Pasir Puteh, Kelantan.

Zamzuree pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 mengambil alih pengurusan perniagaan daripada bapanya Zakaria Awang pada tahun 2003.

Sebelum itu, beliau pernah bekerja di beberapa buah syarikat termasuk Renong Berhad, Kuala Lumpur dan sebuah bank di Kelantan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan penternakan.

Bukan mudah bagi Zamzuree untuk mengumpul aset sebesar itu. Anak kepada seorang guru sekolah kampung yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh ini mengambil risiko besar meninggalkan pekerjaan kolar putih untuk menceburi bidang perniagaan.

Setahun selepas mengambil alih perniagaan bapanya, beliau menghadapi ujian perniagaannya hampir lumpuh berikutan harga import lembu dari Australia meningkat mendadak kerana nilai mata wang negara menurun.

”Ia halangan terbesar dan perniagaan saya hampir lumpuh sama sekali.

”Saya pernah menerima pelbagai kritikan dan cacian daripada masyarakat di atas kegagalan itu dan saya jadikan ia sebagai tiupan semangat untuk bangkit semula.

“Doa dan harapan saya mendapat keredaan Allah apabila diselamatkan oleh Agro Bank yang meluluskan pinjaman segera berjumlah RM1.4 juta sebagai modal pusingan,” katanya.

Dengan wang pinjaman itu, Zamzuree mula mengalih tumpuan ke arah mengimport lembu dari Selatan Thailand terutama spesies Brahman Cross India.

Kini beliau mengimport kira-kira 12,000 ekor setahun untuk dipasarkan di Semenanjung terutama Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Pahang, selain Kelantan.

Terbaharu, lebih 1,200 ekor lembu bernilai RM2 juta sudah ditempah bermula akhir bulan ini bagi keperluan bulan Ramadan dan Aidilfitri.

”Sebahagian besar daripada jumlah itu sudah tiba dan ditempatkan di ladang syarikat untuk dikuarantinkan selama 10 hari dan diberi suntikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh agar ia selamat dan bebas daripada pelbagai jangkitan penyakit sebelum diedarkan kepada pengguna,” katanya.

Lembu berkenaan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu kira-kira RM2,000 seekor dan sehingga kini ia mendapat permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan dan musim cuti sekolah bagi kenduri kahwin.

Zamzuree berkata, berasaskan kejayaan itu beliau mempelbagaikan kegiatan dengan menyertai projek hiliran seperti ternakan 1,300 ekor itik telur spesies khaki campbell untuk memproses dijadikan telur masin.

Dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 900 biji telur sehari untuk pasaran domestik dan merancang untuk menghasilkan 10,000 biji untuk dieksport ke luar Kelantan.

Zamzuree juga mengimport dan menternak 200 ekor kambing daging spesies luar negara dan sehingga kini dapat memasarkan 100 ekor sebulan untuk keperluan tempatan.

Bagi keperluan harian, beliau turut menternak 300,000 ekor ikan keli dan mengeluarkan hasil antara 800kg dan 1,000 tan sebulan.

Beliau juga ialah pengeluar terbesar baja organik hasil buangan bahan terbiar seperti najis lembu, kambing dan itik selain campuran bahan kimia bagi penyuburan tanaman jangka pendek dan panjang.

Antara 10 hingga 20 tan sehari mampu dikeluarkan bagi memenuhi keperluan domestik termasuk beberapa buah syarikat di Terengganu.

Di samping itu, Zamzuree juga mempunyai sebuah kolam memancing pelbagai spesies ikan yang membabitkan kawasan seluas 1.8 hektar dan sebuah restoran.

Kolam berkenaan disediakan untuk memberi peluang kepada remaja melibatkan diri dalam aktiviti lebih sihat dengan mengenakan bayaran RM7 sejam.

Setiap bulan beliau mengadakan karnival memancing dengan tawaran hadiah menarik termasuk wang tunai.

Seorang pembeli dari Cheras, Selangor, Mokhtar Ahmad, 35, ketika ditemui di ladang berkenaan berkata beliau sering berurusan dengan syarikat berkenaan disebabkan bekalan lembunya lebih segar.

“Kedatangan saya hari ini untuk membeli lapan ekor lembu bagi bekalan bulan Ramadan,” katanya. – Bernama

Dikirim dalam lembu, telur masin | Leave a Comment »

Ambil peluang jadi usahawan

Posted by integratedfarm di Ogos 20, 2009

HASAN Malek melawat ladang Projek Berkelompok AET Ternakan Lembu Fidlot di Ladang Lembu Fidlot Inas, Johol, Negeri Sembilan, semalam.



KUALA PILAH – Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) menerusi Program Ternakan Lembu Fidlot yang digerakkan oleh RISDA di kalangan pekebun kecil mampu melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini.

Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, usaha itu hanya mampu dicapai jika peserta beri komitmen yang padu dalam jayakan program tersebut.

“Program Ternakan Lembu Fidlot oleh RISDA bukan saja bertujuan menjana pendapatan tambahan di kalangan orang kampung, tapi pada masa yang sama dapat melatih mereka menjadi usahawan.

“Ia mampu dicapai jika mereka bersungguh-sungguh membabitkan diri dalam aktiviti itu dan tidak lepas tangan dengan menyerahkan semua kerja kepada pihak lain memandangkan ia diadakan berkelompok,” kata beliau.

Beliau berkata demikian setelah merasmikan majlis Penyampaian Dividen Projek Berkelompok AET Ternakan Lembu Fidlot dan Penyerahan Kunci Program Bantuan Rumah (PBR) di Ladang Lembu Fidlot Inas, Johol di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Mohammad Izat Hasan.

Hasan menambah, dalam program tersebut para peserta diberi peluang menguruskan aktiviti perladangan dan pemasaran hasil ternakan mereka secara cekap melalui penyatuan pekebun-pekebun kecil.

“Aktiviti ini mampu memahirkan mereka dalam bidang pengurusan perniagaan agar mereka boleh menceburi perniagaan yang berskala besar. Kerajaan berharap semua peserta merebut peluang ini sebaik mungkin,” kata beliau.

Sementara itu, dalam majlis tersebut 86 peserta dari tiga kelompok Program Lembu Fidlot itu menerima agihan dividen bagi 2008 yang berjumlah RM35,190.

Hasan memberitahu, agihan dividen tersebut yang dibuat secara tunai setiap dua kali setahun diharapkan mampu meringankan beban peserta dalam kehidupan seharian.

“Dividen ini bukti kesungguhan kerajaan membantu mereka diharapkan dapat membantu terutama ketika kita hendak menyambut musim perayaan tidak lama lagi,” tambah beliau.

Dalam majlis yang sama, 20 penduduk kampung menerima bantuan rumah daripada RISDA yang bernilai RM33,000 sebuah.

Mohammad Izat berkata, bantuan rumah tersebut juga merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu masyarakat luar bandar yang berpendapatan rendah.

“RISDA juga telah mengenal pasti sejumlah 64 orang yang layak untuk mendapat rumah baru dan 33 rumah untuk dibaik pulih di daerah Kuala Pilah dan Jempol.

“Daripada jumlah tersebut, 20 rumah telah siap dan diserahkan kunci pada hari ini,” kata beliau.

Dikirim dalam lembu | Leave a Comment »

Pemilik Kafe Miliki Lembu Charolais Terbesar Di Negara

Posted by integratedfarm di Ogos 3, 2009

BACHOK, 31 Julai (Bernama) — ‘Bob’ baru berusia enam tahun, tetapi beratnya kini mencecah 1,100 kilogram, melebihi berat seekor anak gajah.

Pembesaran yang di luar jangkaan itu menyebabkan ‘Bob’, lembu kacukan Charolais jantan, digelar penduduk kampung sebagai ‘lembu ajaib’ yang memberi tuah kepada pemiliknya, Mohd Juharani Jaafar.

Mohd Juharani, 26, dari Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok berkata, Bob yang berstatus pejantan baka berasal dari Amerika telah dipelihara sejak enam tahun lepas sememangnya memiliki tahap pembesaran yang pelik apabila membesar hampir 480 gram sehari.

“Masa saya beli Bob sekitar enam tahun dulu, usianya baru setahun dua bulan dengan berat melebihi 300 kilogram iaitu berat biasa bagi baka Charolais yang sememangnya terkenal bersaiz lebih besar daripada baka lain.

“Lain pula dengan Bob, ia membesar dengan cepat melebihi tahap pembesaran bakanya. Setiap hari dapat lihat dengan jelas perbezaannya dan saya langsung tidak menyangka Bob kini boleh mencapai berat 1,100 kilogram pada usia baru enam tahun,” katanya kepada Bernama.

DIIKTIRAF LEMBU TERBESAR DI MALAYSIA

Mohd Juharani, seorang pemilik kedai makan, berkata kebiasaan berat lembu baka Charolais pada usia enam tahun hanyalah sekitar 400 kilogram manakala bagi lembu tempatan bawah 300 kilogram.

Pakar penyembelihan lembu yang melihat saiz Bob juga terkejut dan berkata sekiranya Bob disembelih, dagingnya itu sahaja boleh menjamu selera kira-kira 10,000 orang, jelasnya lagi.

Mengimbas saat awal Mohd Juharani memiliki Bob sewaktu beliau pernah membela 80 ekor lembu pada 90-an, katanya, Bob dibeli daripada seorang saudaranya di Chieng Mai, Thailand dengan harga RM5,400.

Tiada siapa menyangka, Bob yang pada usia kecil kelihatan ‘biasa-biasa saja’ sama seperti lembu baka Charolais, yang lain kini mampu mencuri perhatian segenap lapisan masyarakat dari serata negeri, kerana keunikan saiznya sehingga turut diiktiraf Jabatan Veterinar Kelantan (JPV) sebagai lembu terbesar di Malaysia.

Melalui pemantauan JPV Kelantan ke seluruh negara, tiada seekor pun lembu baka Charolais yang boleh menandingi saiz Bob menyebabkan Bob semakin popular terutama dalam kalangan peminat lembu negara ini.

“Saya dimaklumkan baka Charolais ini tidak banyak dipelihara di negara kita, kalau ada pun hanya di tiga negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu. Sebab itulah sehingga kini Bob adalah antara lembu yang terbesar di negara ini,” katanya.

BOB YANG POPULAR TETAPI GARANG

Mohd Juharani, yang masih bujang dan menetap bersama keluarganya di Kampung Permatang Pasir, berkata, rumah keluarganya itu jarang sunyi daripada kunjungan orang ramai yang ingin melihat dan bergambar bersama Bob.

Tidak seperti kebanyakan binatang lain yang kebiasaannya jinak apabila sering mendapat perhatian dan sudah biasa menerima kunjungan orang ramai, lain pula ceritanya Bob apabila sikapnya tidak begitu.

Bob sangat garang dan sering mendengus sekiranya ada orang yang tidak dikenali cuba menghampiri.

Meskipun sekadar menyentuh pagar kandangnya, jika disedari, Bob akan mengibas-ngibaskan ekornya dan bergerak dengan mimik muka yang garang.

Ketika situasi itu, orang ramai dinasihat supaya menjauhi kandang Bob kerana makin dihampiri bimbang ia lebih menaikkan kemarahan Bob.

“Bob memang begitu, moodnya tidak menentu, kadang-kadang dia oke tetapi kadang-kadang dia mudah naik marah. Walaupun popular, dia memang tidak berapa mesra dan tetap garang dengan orang ramai,” kata Mohd Juharani sambil mengusap-ngusap belakang badan Bob.

Beliau bagaimanapun berkata, Bob sangat manja dengannya dan tidak pernah membantah suruhannya.

Disuruh duduk Bob duduk, disuruh bangun juga Bob akan bangun meskipun Bob kelihatan termengah-mengah kerana terpaksa bangun walaupun baru lima minit Bob duduk merehatkan diri.

TIDAK SUKAR JAGA BOB

Seringkali ketika menerima kunjungan orang ramai, pertanyaan tidak takutkah dicederakan Bob yang bersaiz besar dan bertanduk tajam itu pasti akan didengari.

Mohd Juharani berkata, Bob sememangnya kelihatan garang dan agak menakutkan kerana saiznya yang besar dengan tanduk yang tajam tetapi sepanjang beliau menjaga Bob, ia tidak pernah menunjukkan rasa marahnya kepada Mohd Juharani, anak keenam daripada tujuh adik beradik.

Malahan Bob langsung tidak susah dijaga, baik dari segi pemakanan mahupun penjagaan harian.

“Bob seekor lembu yang baik, dia kenal siapa tuannya, saya tidak pernah cedera kerana Bob, meskipun dia garang tetapi dia tidak marah pada tuannya.

“Bukan itu sahaja, nak jaga Bob pun tidak susah, setiap hari hanya perlu sediakan 50 kilogram rumput dan lima kilogram dedak untuk makanan hariannya yang kosnya sekitar RM20 sehari, itupun untuk kos dedak sahaja kerana rumput ditanam sendiri di belakang rumah,” katanya.

Bagi memastikan kebersihan Bob dan keselesaan orang ramai yang berkunjung ke sini, Bob sentiasa dipastikan bersih dengan memandikannya tiga hingga empat kali dalam sehari.

Selain itu, Bob juga jarang sakit menyebabkan Mohd Juharani hanya perlu mengeluarkan kos perubatan yang asas sahaja seperti memastikan Bob diberi vaksin yang sesuai untuk mengelakkan daripada diserang penyakit.

MAHU CARI TEMAN UNTUK BOB

Keistimewaan pembesaran Bob yang jarang ditemui itu membuatkan Mohd Juharani akan mencari baka induk yang sesuai untuk dijadikan teman kepada Bob bagi mengembangkan bakanya itu.

Mengikut perancangan sepuluh ekor baka induk akan dibeli pada awal tahun hadapan.

Bagaimanapun, untuk mencari baka induk yang sesuai dengan saiz Bob agak sukar tetapi sekiranya tiada beliau akan meminta bantuan JPV Kelantan untuk menggunakan kaedah permanian beradas atau tabung uji untuk mengembangkan baka Bob.

Selain itu Mohd Juharani berkata, beliau turut membuat permohonan pinjaman kepada Agro Bank untuk membeli baka induk berkenaan dan berharap pinjamannya akan diluluskan segera menjelang tahun hadapan.

TIADA HASRAT JUAL BOB

Mohd Juharani yang kini memiliki sebuah kafe di Terengganu berkata, meskipun sibuk menjaga perniagaan, beliau tetap tidak lupa terhadap Bob dan tidak berhasrat menjual lembu itu kepada sesiapaun meskipun ditawar dengan harga yang tinggi.

“Sekarang ni Bob bawah jagaan ayah saya, Jaafar Mat Amin kerana ayah adalah orang terdekat dengan Bob selain saya yang boleh menguruskan Bob sepanjang saya berada di Terengganu uruskan kafe.

“Tetapi walau sesibuk manapun saya, saya tidak lupa pada Bob, setiap minggu saya akan pulang menjenguk Bob dan tidak berhasrat menjual Bob kepada sesiapa pun kerana sayang dan bangga memilikinya,” katanya yang menyifatkan dirinya bertuah berpeluang memiliki Bob yang istimewa.

Selain itu, kata Mohd Juharani, sikap Bob yang terlalu garang kepada orang yang tidak dikenalinya menjadi alasan utama untuk beliau tidak menjual Bob meskipun ada yang menyatakan hasrat dan kesungguhan untuk menjaga Bob dengan baik.

– BERNAMA

Dikirim dalam lembu | Leave a Comment »

Keluaran daging lembu ditingkatkan 60%

Posted by integratedfarm di Julai 30, 2009

SEREMBAN 29 Julai – Kerajaan negeri menyasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran daging lembu daripada 40 peratus menjadi 60 peratus yang dijalankan di bawah projek ‘Beef Valley’ di Gemas menjelang akhir tahun 2010.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Noor Soeraya Norsham berkata, langkah tersebut selari dengan usaha kerajaan untuk memenuhi permintaan sumber makanan masyarakat tempatan selain mengatasi masalah kebergantungan terhadap pengimportan sumber makanan dari luar negara.

”Setakat ini, kita hanya mampu menampung 40 peratus dalam pengeluaran daging lembu untuk diagihkan bagi memenuhi permintaan penduduk negeri ini dan juga ke seluruh negara.

”Senario ini secara tidak langsung memaksa negara untuk mengimport bekalan sumber makanan itu dari luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Noor Soeraya, pelbagai langkah drastik telah dijalankan dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran daging lembu bagi mencapai sasaran tersebut.

”Ini termasuk, menambah jumlah lembu di lima ladang satelit di sekitar negeri ini yang terdapat di Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah dan Senawang.

”Selari dengan usaha itu juga, kita telah mempertingkatkan penghasilan baka lembu di Kawasan Tumpuan Sasaran (TAC) di Jempol yang kini mempunyai 20,000 lembu khusus untuk tujuan pembakaan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, buat masa ini, Beef Valley itu menempatkan 4,000 ekor lembu untuk tujuan disembelih dan juga 1,000 ekor bagi dijadikan baka.

”Kini projek tersebut mampu untuk memproses 25 hingga 50 ekor lembu sehari secara purata dan kita harapkan bilangan tersebut meningkat kepada 100 ekor sehari dalam tempoh tersebut,” jelas beliau.

Dikirim dalam lembu | Leave a Comment »

30 ekor lembu tersedia di Kg Melayu Sri Kundang, Sg. Buloh Selangor

Posted by integratedfarm di Julai 3, 2009

Sebaik turun sahaja dari lori , lembu tersebut terus makan, begitu lapar nampaknya maklumlah hampir 10 jam berada di atas lori dari Kota Bharu, Kelantan.

Lembu Jantan Brahman dan Brahman Cross sebanyak 30 ekor siap sedia untuk diturunkan

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan lembu sama ada untk korban atau sembelihan boleh hubungi saya 019-2272127 atau saiful 0123371022 untuk keterangan lanjut.Stok sembelihan untuk niaga runcit hanya tinggal 3 ekor sahaja dan Untuk korban hanya tinggal 20 ekor.Harga tawaran RM1900 per/ekor

Dikirim dalam lembu | Leave a Comment »

Memang berbaloi ternak lembu

Posted by integratedfarm di Mei 8, 2009

lebih 400 ekor lembu dipelihara secara integrasi oleh tiga individu berbeza
di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.



Melihat sendiri bagaimana seorang penternak memanggil ternakan lembunya dengan ‘bahasa’ tersendiri, memang sesuatu yang mengasyikkan bagi mereka yang belum pernah berpengalaman menyaksikannya.

Tapi itulah yang boleh disaksikan semasa menemubual seorang penternak yang mempunyai hampir 200 ekor lembu di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Baginya, lembu pertama yang dibelinya dan diberikan nama Atan amat istimewa dan terus dipelihara sehingga ke hari ini.

Bagi penternak terbabit , bekerja keras dan bersemangat untuk memajukan diri adalah kunci baginya mencapai kejayaan.

Bermula dengan bekerja di bahagian penyelenggaraan di Hospital Jerantut, Pahang, lebih kurang 10 tahun lalu, Muhammad Rohaimi Amiruddin, 29, kini mempelbagaikan usahanya termasuk dalam industri ternakan.

‘Karier’ awalnya bermula sebagai kontraktor Kelas F semasa berkhidmat di Hospital Jerantut, yang mula membuka pintu rezekinya meskipun tiga tahun dilalui tanpa sebarang projek.

Tanpa mengenal putus asa, dalam tempoh tiga tahun itu, Muhammad Rohaimi tetap dengan tugasnya di Hospital Jerantut sehinggalah dia memperoleh projeknya yang pertama.

Hasil pendapatan daripada projek berkenaan dilaburkan dengan membeli 10 ekor lembu atas nasihat rakan-rakannya.

“Pada mulanya saya membeli baka lembu dan dilepaskan di kebun ayah saya,” katanya semasa ditemui di ladang sawit Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.

Apabila mendapat kontrak demi kontrak dan syarikat tempatnya bekerja menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), Rohaimi menerimanya. Setelah itu, bermulanya kehidupannya sebagai seorang penternak lembu dan kontraktor Kelas F.

Melabur

Hasil daripada pelbagai jenis projek yang diterima, Muhammad Rohaimi laburkan dengan membeli lembu bagi menambah bilangan ternakannya.

Selepas mendapat kontrak membersihkan ladang sawit LKPP seluas 4,000 ekar bersama-sama dengan dua rakan lain, Rohaimi mula membeli lebih banyak lembu untuk diletakkan di ladang berkenaan.

“Sebelum itu, dengan hanya beberapa ekor lembu saya letakkannya di sana, tetapi apabila saya mula menambah bilangan lembu kepada lebih 50 ekor, saya meminta kebenaran untuk menyewa tanah ladang bagi melepaskan semua ternakan tersebut,” katanya.

Menternak lembu di kawasan ladang sawit, kata Rohaimi, amat menjimatkan kerana lembu yang dipelihara mudah mendapat makanan dan ladang juga bersih.

Najis lembu

Pada masa sama, najis lembu juga boleh digunakan untuk menyuburkan tanah di ladang kelapa sawit berkenaan.

Usahanya tidak diteruskan dengan menambah bilangan lembu dengan membeli pelbagai jenis lembu seperti Brahman, LID, Charolais, Kedah-Kelantan (KK) dan Draughtmaster daripada rakan-rakan dan penduduk sekitar daerah Jerantut.

Menyentuh mengenai kos menternak lembu secara integrasi, Rohaimi berkata, kosnya amat rendah kerana hanya perlu membeli air gula, ubat-ubatan dan garam.

Bagaimanapun, dia u perlu membeli tiga set pagar elektrik bagi mengelakkan ternakan tersebut merayau keluar ke kebun penduduk kampung.

“Satu set pagar elektrik bagi kawasan 10 ekar lengkap dengan bateri berharga sekitar RM2,000,” katanya.

Sehingga kini ladang berkenaan menjadi tempat tinggal lebih 400 ekor lembu daripada tiga individu yang berlainan.

“Di sini kami sama-sama menjaga ternakan secara gotong-royong kerana kami mengenali lembu masing-masing.

“Setiap hari pekerja akan meninjau keadaan lembu dan mengenalpasti masalah seperti penyakit dan masalah lain,” katanya yang mempunyai enam orang pekerja untuk tugas-tugas membersihkan ladang.

Setiap petang beliau yang mempunyai hampir 200 ekor lembu akan pergi meninjau keadaan lembunya sambil membawa bancuhan air gula merah.

Menyentuh mengenai pasaran, Rohaimi berkata setakat ini pasaran lembu amat menggalakkan terutama menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji.

Bagaimanapun Rohaimi biasanya akan membeli lembu-lembu lagi bagi menggantikan lembu yang telah dijual.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, anak muda yang penuh wawasan ini merancang untuk menambahkan lagi bilangan lembu-lembunya.

“Apabila saya menjual lembu, saya akan membeli lagi untuk menambah bilangan ternakan saya,” katanya dengan penuh semangat.

Petikan dari Utusan Online..

Dikirim dalam lembu | Leave a Comment »

Lembu Jantan Brahman sedia untuk tempahan

Posted by integratedfarm di April 20, 2009



Membekalkan Lembu Jenis Brahman, Thailand
Umur • 2 Tahun
Anggaran Berat • 1 ekor antara 180 ke 200 Kilogram
Kawalan Kesihatan • Suntikan Vaksin 2 kali
Harga Jualan • 1 ekor RM 1,500.00 termasuk “Transport” hingga ke Kuala Lumpur (Hidup-hidup)
Minimum Order • 30 ekor
Masa Tempahan • 2-3 minggu order sampai

Berminat , hubungi talian 019-2272127 untuk maklumat lanjut

Dikirim dalam lembu | Leave a Comment »

KONTRAKTOR MUDA TERNAK LEMBU

Posted by integratedfarm di April 10, 2009

Telah ditakdirkan bahawa dia akan muncul sebagai usahawan berjaya dalam usia yang muda. Namun, laluan yang ditempuh ke arah pencapaian ini tidaklah semudah yang disangka.

Memasuki dunia pekerjaan pada usia 18 tahun, Muhammad Rohaimi Amiruddin tidak pernah menyesal. Biasanya, kebanyakan anak muda seusia itu memilih untuk meneruskan persekolahan di tingkatan enam atau ke kolej dan universiti.

Bagi mereka, hanya kecemerlangan akademik dapat menjanjikan masa depan yang lebih cerah. Namun begitu, melihat senario semasa, telahan itu nampaknya tidak tepat kerana kebanyakan siswazah sekarang masih ada yang menganggur walaupun telah tamat pengajian sejak dua atau tiga tahun yang lalu. Justeru, segelintir siswazah mula memandang ke hadapan dengan menceburi sektor pertanian atau penternakan.

Bagi Muhammad Rohaimi, 29, yang lebih mesra disapa Awang, pendidikan memang penting dalam kehidupan seseorang tetapi tidak semua orang berpeluang menjejak kaki ke menara gading.

Jika itu berlaku pada seseorang, janganlah berputus asa kerana seperti yang dijelaskan di dalam hadis, sebanyak 9/10 punca rezeki datangnya daripada sektor perniagaan.

Namun sebelum menceburi bidang perniagaan, Awang terlebih dahulu bekerja makan gaji di sebuah syarikat penyelenggaraan, Ready Care di Hospital Jerantut, Pahang selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sungguhpun berusia belasan tahun, Awang tidak seperti kebanyakan remaja yang lain. Dia sebaliknya memandang jauh ke hadapan sambil memikirkan apakah yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Mungkin telah ditakdirkan dia akan muncul sebagai usahawan muda yang berjaya, maka langkah pertama mula diatur bagi meniti satu demi satu anak tangga kejayaan.

“Pada tahun 2000, saya memohon lesen kontraktor dan berjaya memperolehnya. Saya tak berani nak berhenti kerja dan terus bekerja di Ready Care. Dalam masa yang sama, saya berusaha memohon projek-projek kecil di sekitar Jerantut.

Tiga tahun tiada projek

“Tiga tahun saya berusaha barulah saya dapat projek pertama dari Pejabat Daerah Jerantut iaitu membaik pulih Masjid Taman Negara. Nilai kerja yang diperoleh daripada projek itu adalah RM50,000. Saya masih belum mahu berhenti kerja dan dengan keuntungan yang diperoleh daripada projek tersebut, saya beli 10 ekor lembu untuk dipelihara,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Jerantut, Pahang.
AWANG menggunakan bahasa khas bagi memanggil lembu-lembunya untuk diberi air gula merah yang diletak di dalam bekas air mineral 1.5 liter.

Menurutnya, dia memilih kaedah integrasi iaitu lembu-lembu dilepaskan secara terkawal di kebun kelapa sawit miliknya ayah seluas 10 ekar. Kebun ayahnya terletak bersempadan dengan ladang sawit milik Lembaga Kemajuan Perusahaan Pahang (LKPP).

Tambahnya, tidak lama kemudian, dia menerima projek kedua. Dengan keuntungan yang diraihnya, Awang menambah bilangan lembu peliharaan.

Melihat potensi besar dalam kerja-kerja sebagai kontraktor dan ternakan lembu, Awang nekad berhenti kerja pada tahun 2005. Dia memilih berhenti kerja secara Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) dan menerima wang pampasan sebanyak RM15,000. Wang itu juga digunakannya untuk menambah bilangan lembu.

“Dalam tempoh satu tahun iaitu sejak pembelian pertama, jumlah lembu bertambah kepada 50 ekor dan dalam masa yang sama, saya turut menerima banyak projek menerusi syarikat Temin Maju Enterprise,” ujarnya.

SAMBUTAN Aidiladha menjadi musim meraih rezeki yang berganda bagi golongan penternak. –

Gambar hiasan
Melihat potensi besar dalam ternakan lembu secara integrasi, Awang cuba memohon daripada LKPP untuk menyewa ladang sawitnya bagi meluaskan kawasan ternakannya. Kawasan yang disewa itu meliputi keluasan 4,000 ekar. Selain itu, Awang turut menerima projek membaja, meracun, memotong dan mengangkut buah sawit di ladang LKPP tersebut.
Usahawan muda yang merupakan suami kepada Norzaliani Mohd. Nordin, 29, dan ayah kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu jumlah lembu yang diternaknya kini mencecah kira-kira 450 ekor dan bilangan itu dikongsi dengan dua rakannya iaitu Shafie Sadi dan Fadli Hamat. “Jumlah lembu yang saya sendiri miliki melebihi 200 ekor dan bakinya dikongsi oleh Shafie dan Fadli,” katanya sambil memberitahu jenis-jenis lembu ternakannya adalah Brahman, LID, Charolais, Droughtmaster dan KK.
Pasang pagar elektrik

Kata Awang, selain membekalkan lembu ternakannya ke pasar-pasar, dia juga menjualnya kepada orang ramai pada setiap kali musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
Selain menjual lembu untuk tujuan aqiqah, korban, majlis kenduri dan sebagainya, Awang juga menjual baka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk memulakan ternakan lembu.
“Usia paling sesuai untuk menjual lembu-lembu ini adalah tiga tahun dan harganya sekitar RM2,000 hingga RM3,000 seekor mengikut saiz dan jenis lembu yang terbaik. Manakala harga untuk tujuan korban pula adalah antara RM1,700 hingga RM2,000 seekor,” katanya.
Awang juga memberitahu, pihaknya turut menjual kulit lembu untuk pasaran di negara jiran, Thailand pada harga RM2.50 sekilogram (kg).
“Seekor lembu boleh menghasilkan antara 20 hingga 30 kg kulit, bergantung pada saiz lembu yang kami sembelih untuk tujuan korban, kenduri atau aqiqah. Misalnya, seekor lembu jenis Brahman boleh mencecah berat 60 kg,” jelasnya sambil memberi lembu-lembunya minum air gula merah.
Mengenai pemberian air gula merah kepada haiwan ternakannya, Awang berkata, dia akan membeli pati air gula merah di kedai runcit sekitar Jerantut. Sedikit pati akan dibancuh di dalam air sebelum dimasukkan ke dalam botol-botol mineral 1.5 liter.
Menurutnya, air gula merah itu adalah sebahagian daripada diet mingguan lembu ternakannya, selain bertujuan menjinakkan haiwan tersebut.
“Apabila dipanggil dengan bahasa ‘khas’, lembu-lembu ini akan datang mengerumuni saya untuk mendapatkan air gula tersebut. Apabila sudah dikumpul, saya boleh memeriksa keadaan lembu sama ada sakit, cedera dan sebagainya.
Selain air gula merah, saya juga menyediakan ketulan garam untuk dijilat oleh lembu-lembut tadi. Garam ini juga merupakan sebahagian daripada diet mingguan lembu,” ujarnya.
Tentang keselamatan pula, bagi memastikan lembu-lembunya tidak keluar dari kawasan ladang dan merayau di kebun sayur berhampiran, Awang memasang pagar elektrik di beberapa lokasi tertentu di sepanjang sempadan ladang sawit berkenaan.
“Saya hanya memasang pagar elektrik di beberapa lokasi tertentu bagi mengelakkan lembu-lembu peliharaan ini menceroboh kawasan orang lain. Misalnya di kawasan yang bersempadan dengan kebun sayur orang atau landasan kereta api,” ujarnya.
Jelasnya, satu set pagar elektrik untuk memagar jarak 500 meter berharga RM1,700 dan bekalan elektrik yang dialirkan itu diperoleh daripada bateri kereta yang akan dicas semula apabila kehabisan kuasa.
“Setakat ini, saya pakai tiga set bateri kereta dan setiap satu berharga kira-kira RM300. Tentang lembu yang terkena renjatan elektrik di pagar ini, ia tidaklah menyakitkan kerana kuasa watt yang digunakan terlalu rendah. Ia sekadar untuk membuatkan lembu-lembu itu terkejut dan terus berlalu meninggalkan kawasan sempadan,” katanya.
Menurutnya, sejak pagar-pagar elektrik itu dipasang, banyak lembu-lembunya dapat diselamatkan daripada dilanggar kereta api atau dicederakan oleh pengusaha kebun.
Mengenai perancangan masa depan, Awang berkata, dia mahu menambah jumlah lembu ternakan dan membina kandang mudah alih.
Kaedah penternakan lembu

Cara pengurusan lembu daging adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan lembu tenusu. Ada empat cara pengurusan yang boleh dilakukan untuk pembiakan lembu daging iaitu:
MELALUI kaedah fidlot, lembu-lembu pembiak berada di dalam kandang sehingga menjadi cukup gemuk untuk dipasarkan.
1. Meragut Lepas Bebas
Lembu-lembu dibiarkan bebas meragut di kawasan rumput, sama ada di kawasan sendiri atau bukan. Cara ini amat sesuai bagi penternak/ pengusaha yang mempunyai keluasan padang ragut sendiri yang mencukupi. Ini memudahkan lembu-lembu membiak kerana lembu betina bebas bergaul dengan lembu-lembu jantan.
2. Berkurung atau Fidlot
Memelihara lembu secara intensif dalam kandang atau kurungan untuk pengeluaran lembu daging melalui peningkatan berat badan atau menggemukkan lembu dengan memberi makanan bermutu, air bersih, mineral dan vitamin yang secukupnya dalam tempoh tertentu. Dengan cara ini, lembu-lembu pembiak sentiasa berada di dalam kandang. Makanan yang diberikan sama ada rumput atau dedak atau campuran kedua-duanya diberikan pada kadar berat kering 3 – 5% daripada berat badan lembu setiap hari. Biasanya, rumput potong diberikan pada waktu pagi dan dedak diberikan pada waktu petang. Ruang lantai yang diperlukan ialah kira-kira 30 kaki persegi bagi setiap ekor ternakan. Usaha yang lebih adalah diperlukan bagi mencuci kandang dan menjaga kebersihan persekitaran.
3. Separa Intensif
Cara ini lebih sempurna dan praktikal di negara ini. Lembu yang dipelihara dibenarkan bebas meragut sama ada di kawasan rumput yang berpagar atau di kawasan ragutan awam dalam tempoh masa yang dihadkan. Lembu-lembu dihalau balik ke kandang untuk makanan tambahan dan berteduh di sebelah malam. Ini bermakna penternak perlu menyediakan kandang malam dan kawasan meragut yang mencukupi.
4. Integrasi Dengan Tanaman Utama
Di negara kita, kawasan tanaman utama seperti kelapa sawit, getah, kelapa dan dusun adalah sangat luas. Di bawah tanaman ini, biasanya terdapat banyak rumput-rumpai yang subur. Pada kebiasaannya, racun rumpai digunakan bagi mengawal tanaman itu. Integrasi dengan ternakan akan menjimatkan wang untuk meracun, di samping mengurangkan kos pembajaan ladang.
Sumber: Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu

Dikirim dalam artikel, lembu | Leave a Comment »

Gambar Terbaru Ternakan Lembu dan KAmbing amat menggemari Garam Bukit Himalaya.

Posted by integratedfarm di Ogos 5, 2008

Garam Bukit Himalaya adalah satu alternatif baru garam jilatan untuk ternakan ruminan kita. Ini kerana ianya tahan lama dan tak mudah peroi/pecah seperti garam buatan. Selain itu garam Bukit Himalaya mengandungi 84 jenis sumber mineral 100% asli. Senarai sumber mineral tersebut boleh lihat ‘post lama atau di http://malproductsales.blogspot.com atau di http://products.mercola.com

Cuba lihat gambar yang tertera ini, mereka amat meminati garam asli dan lebih selamat dari garam buatan serta kosnya amat murah dan berbaloi. Garam Bukit Himalaya juga boeh digunakan untuk kesihatan manusia dan juga dalam masakan seharian. Selain itu Garam Bukit Himalaya ini juga digunakan sebagai lampu kesihatan kerana ia mengeluarkan ion-ion negatif yang mampu membunuh bakteria dan membersihkan udara di rumah anda . Dapatkan segera di talian 019-2272127




Dikirim dalam kambing, lembu | Leave a Comment »

Posted by integratedfarm di April 29, 2008


Timur: Fidaf labur RM17j ternak lembu berteknologi tinggi

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani – Berita Harian Online 29/4/08PERUSAHAAN: 300 ekor lembu baka Jersey diternak oleh First Diary farm di Jlan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah.

PROSES PEMINDAHAN: Lembu baka Jersey berupaya
menghasilkan susu berkualiti tinggi.

Projek fasa pertama di kawasan seluas 200 hektar ternak 300 baka Jersey dalam tiga kandang berhawa dingin

ROMPIN: Pahang bakal muncul sebagai pengeluar susu lembu terbesar di negara ini, menerusi projek ternakan lembu berteknologi tinggi bernilai RM50 juta yang diusahakan syarikat Bumiputera, First Dairy Farm (M) Sdn Bhd (Fidaf).

Sebagai permulaan, Fidaf melabur RM17 juta dalam fasa pertama projek itu termasuk membeli 300 lembu baka Jersey berharga RM4 juta, membina infrastruktur asas dan prasarana lengkap seperti rumah pekerja, pejabat, stor menyimpan makanan ternakan, seliaan jentera dan mesin berteknologi tinggi.

Projek itu kini beroperasi di kawasan seluas 200 hektar di Kilometer 81, Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah.

Pengarah Urusannya, Muhammad Alwi Abdullah, berkata projek tenusu Fidaf dirancang mengikut empat fasa pembangunan dengan setiap fasa mengandungi 300 lembu, tiga kandang berhawa dingin berkonsepkan `free stall barn’, dua kandang penjagaan dan dua kandang dikhususkan untuk anak lembu, selain sebuah bangunan pemerahan susu.

Beliau berkata, mengikut konsep ternakan itu, pihaknya mensasarkan mengeluarkan susu segar berjumlah antara 19,000 hingga 22,000 liter sehari.

Katanya, paling menarik, Fidaf turut melakukan pembaharuan dalam dunia penternakan yang dijangka menjadi contoh usahawan industri penternakan dan pertanian di Malaysia, apabila memperdengarkan alunan bacaan al-Quran dalam setiap kandang sebagai persediaan menghasilkan susu terbaik.

“Susu sangat penting untuk bayi dan kanak-kanak bagi pertumbuhan fizikal dan mental mereka supaya lebih sihat dan kita harap, kaedah ini menyumbang ke arah kesihatan yang lebih sempurna.

“Di sudut psikologi, bacaan al-Quran menenangkan jiwa dan haiwan juga sensitif dengan bunyi-bunyian.

“Setakat ini, kami sudah memperdengarkan alunan bacaan al-Quran sehingga 30 juzuk setiap hari di kandang berkenaan,” katanya di sini semalam.

Mengulas pembabitannya dalam industri ternakan tenusu, Muhammad Alwi, 36, berkata minat dalam bidang itu mula wujud apabila melihat ibu bapanya menternak lembu ketika bekerja di ladang getah di Labis, Johor selama hampir 50 tahun lalu.

Malah, katanya, atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru, beliau pernah mengutus surat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada usia 13 tahun menyatakan hasratnya membuka ladang tenusu.

“Selama 10 tahun, saya membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri tenusu negara dan pengurusan perladangan tenusu berorientasikan teknologi, sebelum merealisasikannya pada 1 September tahun lalu.

“Kebanyakan ladang penternakan di negara ini tidak mempunyai sistem pemakanan yang betul dan seimbang, program pembiakan dan pembakaan yang teratur selain kebersihan dan kawalan penyakit yang lebih sistematik dan tidak mengamalkan polisi `Good Animal Husbandary Practices’.

“Sebab itu, Fidaf sedia menggalas cabaran negara dalam penyediaan sistem pemasaran dan penghantaran lebih bersistematik sebagai jaminan produk tenusu sampai kepada pengguna dalam keadaan selamat dan berkualiti,” katanya.

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Vancouver, Kanada, Muhammad Alwi, berkata pelaksanaan projek itu mendapat kerjasama Agro Bank yang menyalur pinjaman berjumlah RM10 juta sebagai modal permulaan dan dijangka menambah nilai pinjaman sehingga RM15 juta bagi fasa seterusnya sebaik saja pelaburan fasa pertama berjaya menepati sasaran.

“Semua lembu berusia antara 22 hingga 28 bulan itu kini sedang bunting sulung selepas melalui proses permanian berhadas di ladang asalnya di Australia dan dijangka beranak sekitar Jun dan Julai depan.

“Penternakan di sini menggunakan konsep berbeza kerana kami menyesuaikan keadaan cuaca dan persekitaran dengan haiwan dan bukan sebaliknya.

“Ini bermakna, ternakan dibiar menetap dalam kandang dan hanya keluar untuk menjalani proses pemerahan susu dalam bangunan disediakan,” katanya.

Katanya, setiap kandang mempunyai suhu antara 20 hingga 24 darjah Celsius yang akan dipantau takat suhunya dari semasa ke semasa.

“Kandang ini mempunyai ciri keselamatan canggih kerana dilengkapi pintu kecemasan automatik yang terbuka jika berlaku gangguan bekalan elektrik.

“Untuk pemakanan, Fidaf memperuntukkan kawasan seluas 160 hektar sebagai kawasan penanaman rumput jenis bracharia daripada spesies ‘rozizensis’ untuk dibuat silaj yang menjadi makanan terbaik lembu tenusu.

“Rumput kering dan makanan tambahan juga turut diberi kepada lembu bagi memastikan penghasilan susu berkualiti tinggi,” katanya.

Muhammad Alwi berkata, lembu ternakannya menjalani proses pemerahan susu dua kali sehari menggunakan mesin diimport dari Waikato Milking System, New Zealand.

Beliau berkata, masa sejam diambil untuk memerah 300 ekor lembu menerusi sistem pemerahan susu dikenali sebagai `Rotary Milking System’.

“Lembu baka Jersey menghasilkan susu berkualiti tinggi kerana kadar proteinnya 20 peratus lebih tinggi berbanding lembu lain dan lembu ini juga adalah spesies yang jinak,” katanya.

FAKTA: Lembu berteknologi tinggi

· Sistem Glycol digunakan untuk menyejukkan susu yang mengambil masa tiga saat pada suhu serendah empat darjah Celsius bagi mengurangkan kadar pertumbuhan bakteria dalam susu bagi menjamin kualitinya.

· Projek ini diiktiraf Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sekali gus Fidaf mendapat kemudahan kerajaan negeri dan Pusat untuk meningkatkan pengeluarannya.

· Formulasi pemakanan tambahan untuk lembu dijalankan dengan kerjasama Cargill Feeds (M) Sdn Bhd, syarikat antarabangsa terulung dalam pemakanan ternakan.

· Fidaf yang mengamalkan taraf sistem biosekuriti, sedia memberi latihan kepada usahawan yang berminat dengan industri ini kerana permintaan terhadap produk tenusu semakin meningkat.

· Projek ini satu-satunya yang beroperasi di bawah pelan pembangunan industri tenusu di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Muadzam Shah

Dikirim dalam artikel, lembu | Leave a Comment »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.