Jurnal Pertanian dan Penternakan Online

Informasi dan jualan produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Archive for the ‘Tebu’ Category

Petani digesa ceburi penanaman tebu

Posted by integratedfarm di Julai 15, 2009

BATU PAHAT 13 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin menyeru petani di kawasan ini menceburi penanaman tebu kerana pusat pengumpulannya dibina di sini dan memudahkan mereka menjualnya.

Beliau yang melawat pusat pengumpulan tebu itu bersama para pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) baru-baru ini melahirkan rasa teruja dengan adanya pusat pengumpulan tebu itu kerana diyakini ia mampu menaikkan nama Batu Pahat sebagai pusat penanaman dan pengumpulan tanaman berkenaan.

“Dengan adanya kompleks ini, ia memberi peluang kepada petani tempatan dan peluang pekerjaan kepada individu yang berminat dalam bidang ini,” katanya.

Beliau turut menggesa golongan belia menceburkan diri dalam penanaman tebu memandangkan petani sedia ada sudah lanjut usia.

Menurutnya, di daerah Muar terdapat 173 hektar tanaman tebu, manakala di Batu Pahat seluas 22.6 hektar yang terletak antara lima hingga 18 kilometer dari pusat pengumpulan tebu dan terdapat tujuh pengeksport tebu ke Singapura di kedua-dua daerah berkenaan.

Pengurus Purecane Manufacturing Sdn. Bhd., Yumi Chee berkata, setiap hari sebanyak 10 tan tebu diperlukan untuk dieksport ke Singapura dan jumlah itu meningkat sehingga 20 tan sehari pada hari cuti.

Menurutnya, pihaknya sedang berusaha untuk memasuki pasaran antarabangsa iaitu ke negara Asia Barat seperti Iraq dan perbincangan telah dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, 30 tan tebu diperlukan setiap hari untuk dieksport ke Asia Barat tetapi bekalan sedia ada pada masa ini tidak mencukupi memandangkan petani kurang berminat menanam tebu.

Katanya, bekalan yang ada kini hanya mencukupi untuk dieksport ke Singapura dan beliau yakin tanaman itu mampu dieksport ke Asia Barat sekiranya petani menanam tebu secara komersial.

FAMA kini sentiasa memberi ruang dan peluang kepada petani dengan memberi khidmat nasihat mengenai penanaman tebu melalui kursus yang dijalankan.

Seseorang petani memerlukan modal sebanyak kira-kira RM20,000 bagi tanah 0.4 hektar untuk tanaman berkenaan dan penjagaannya mudah diuruskan.

Sumber: Utusan Malaysia

Posted in Tebu | Leave a Comment »

Memajukan industri tebu

Posted by integratedfarm di Julai 15, 2009

PEKERJA membuang kulit tebu dan menghimpunnya mengikut gred di Kompleks Pengumpulan Ladang, Semerah, Batu Pahat.



BATU PAHAT 13 Julai – Bagai menanam tebu di tepi bibir. Itulah antara perumpamaan yang membabitkan tanaman tebu dalam bahasa Melayu yang bermaksud seseorang yang menabur janji manis.

Jika perumpamaan itu akan kekal selamanya, namun tanaman tebu di negara ini kian ‘terhakis’ dek tanaman lain yang dianggap lebih menguntungkan.

Tetapi sebenarnya tanggapan itu silap kerana menanam tebu lebih mudah dan mampu menghasilkan pendapatan lumayan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Ini terbukti dengan peningkatan jumlah eksport tebu ke Singapura pada setiap tahun bermula 2004 dengan nilai RM3.04 juta sehingga mencecah RM5.8 juta pada 2007 dan pada tiga bulan pertama tahun lalu mencecah RM1.5 juta.

Bagi memastikan pembangunan industri tebu terus berkembang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina sebuah Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di daerah ini.

Ia dibina di Lot 3421, Jalan Persekutuan Muar-Batu Pahat, Mukim 1 Lubok, Semerah dekat sini dengan kos RM4.5 juta dan beroperasi sejak Januari lalu. Ia merupakan kompleks pertama seumpamanya di Malaysia bertujuan menyediakan kemudahan, peluang dan tempat rujukan kepada petani dari negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pegawai FAMA Batu Pahat, Jaini Bukhiran berkata, dengan adanya kompleks itu, ia memberi impak positif kepada pengeksport, pemborong dan petani di negeri-negeri terbabit serta mampu meningkatkan lagi hasil pengeluaran.

Penubuhan kompleks itu juga untuk menggalakkan program pakatan pintar dan kerjasama antara sektor swasta dengan agensi kerajaan khususnya FAMA bagi membangunkan lagi industri tebu tempatan.

Jaini berkata, pembinaan kompleks itu diharap dapat membantu kerajaan menjadikan sektor pertanian sebagai penyumbang pendapatan negara dan pemangkin kepada individu terbabit agar lebih maju dan aktif.

Kompleks itu juga diyakini dapat meringankan beban pengeksport yang tidak berupaya menyediakan tempat pemerosesan mengikut tahap piawaian bagi tujuan pengeksportan yang ditetapkan.

Jaini berkata, kompleks itu mampu meningkatkan pengetahuan di kalangan orang ramai terutamanya petani, pengeksport dan pengusaha industri untuk menjadikan pusat ini sebagai rujukan mengenai tebu.

“Diharapkan kompleks ini dapat membantu menjana ekonomi negara menerusi pertanian dan penanaman tebu,” katanya.

Katanya, bagi memberi peluang kepada petani yang berminat dalam penanaman tebu, buat julung kalinya Ladang Kontrak FAMA bagi tanaman tebu diperkenalkan dengan pembabitan kira-kira 68 petani dari Johor, Negeri Sembilan (6) dan Melaka (8).

Pasaran tebu juga dijangka memasuki pasaran antarabangsa iaitu ke negara Asia Barat tidak lama lagi.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman Ladang Kontrak Tebu antara FAMA, petani dan pengeksport, Purecane Manufacturing Sdn. Bhd., telah diadakan tahun lalu.

Sumber:Oleh norzainura abdul majid
utusanjohor@utusan.com.my

Posted in Tebu | Leave a Comment »

Perbezaan Tebu Morris dengan Tebu Telur

Posted by integratedfarm di Jun 15, 2009

Tebu Kuning/Morris VS Tebu Telur
-Kulit keras – Kulitnya sangat lembut
-Ruas panjang-panjang – Ruasnya pendek-pendek saiz mcm telur
-Airnya warna hijau gelap & keruh – Airnya warna hijau muda
-Rasanya sangat manis – Sederhana manis
-Ada miang pada pucuk – Tak de miang
-Klu dah tua keluar bunga – Tak de bunga, blh panjang lbh 10 kaki
-Harga RM 1.00 sebatang / rm0.50 sekilo – Harga ikut gred. A=rm1.80 B=rm1.60 C=rm1.40

Gambar ialah air tebu telur..warnanya hijau muda..klu tebu morris warnanya gelap keruh.


Gambar tebu yg berbunga ialah tebu morris..dah tua monopouse..berbanding dgn tebu telur tak de bunga..gambar tebu telur ketinggiannya lbh 12 kaki

Gambar ialah perbezaan batang tebu morris dgn tebu telur..tebu morris batangnya keras dan mempunyai ruas yg panjang-panjang berbanding tebu telur..ruasnya pendek-pendek dan kulitnya lembut.


Gambar bawah ialah tebu morris/kuning ( kt kampung aku panggil tebu madu ).Tebu ini ada miang pada pucuknya..Lg satu tebu telur..x de miang pada pucuk

Posted in Tebu | Leave a Comment »

Prospek Penanaman Tebu Di Malaysia

Posted by integratedfarm di Jun 1, 2009

Tebu merupakan tanaman yang jarang dibincangkan dikalangan petani Bumiputra, sedangkan potensinya cukup besar untuk dikomersilkan. Saya mula tertarik dengan projek penanaman tebu disebabkan proses penanaman tanaman ini (tebu) lebih kurang sama dengan benih napier india IKN091.
Berikut adalah beberapa pengiraan ringkas daya maju projek penanaman tebu seluas 10 ekar.
Fakta Kos, Masa & Hasil1 pusingan : 8 bulan
Harga anak benih : RM1-1.50/benih
1 ekar (penuh) : 42,000 ruas/ekar
Hasil 1 ekar : 42 tan1 ekar (selingan dengan getah/sawit) : 500 ruas/ekar
Hasil 1 ekar : 7 tan
Berat 1 batang: 2-3kg
Jualan & Pasaran: – Batang : 1 Batang RM 1-2- Kg : 1kg RM0.50
Pasaran : Kemuncak sewaktu Bulan Ramadhan
- jadi kena rancang jadual betul2, jika nak dapatkan hasil tahun depan, bulan Jan dah kena start tanam.
Hasil kasar bagi 10 ekar tanam tebu
Selingan dengan getah/ sawit;
7 tan x RM0.50 = RM3,500/ ekar x 10 ekar = RM35,000/10 ekar - sementara pokok getah dapat mengeluarkan hasil (getah boleh mula toreh bila mencecah umur 7 tahun), lebih baik petani/penoreh kita membuat tanaman intergrasi getah dengan tebu, ia mampu menjana RM245,000/ 7 tahun. – daripada ‘tanam’ rumput dan lalang, baik sesiapa2 yg ada tanah getah yg buat projek tanam semula tanam tebu dan mana2 tanaman yg boleh mengeluarkan hasil yg lumayan kepada kita semua.
Tanam Penuh
42 tan x RM0.50 = RM21,000/ ekar = RM210,000/10 ekar.
Diharapkan maklumat diatas dapat membantu sahabat2 membuat perancangan bijak dalam mengusahakan tanah masing-masing, saya doakan semoga semua berjaya dan doakan kejayaan saya juga. Amin
Sumber: Blog Sham_Ghaz

Posted in Tebu | Leave a Comment »

Dari air ke manisan tebu

Posted by integratedfarm di Mei 26, 2009

Wan Hamidatun Wan Ishak membantu ibunya Hindon Abdullah menghasilkan air manisan tebu di rumah mereka di Kupang, Kedah.
Biasanya kita tidak akan merasai kepuasan dengan hanya sekali meminum airnya. Air tebu sememangnya minuman yang popular terutama ketika dijadikan penghilang dahaga ketika umat Islam berbuka puasa di bulan Ramadan.
Kita juga mengetahui, tebu adalah tanaman yang digunakan untuk menghasilkan gula yang menjadi keperluan bagi segenap manusia.
Namun di sebalik keenakan airnya agak jarang bagi kita mengetahui air tebu boleh menghasilkan produk lain yang mampu menjadi daya tarikan terbaru dalam dunia makanan.
Manisan tebu satu lagi produk berasaskan air tebu yang begitu manis tetapi mengambil masa yang agak panjang untuk menghasilkannya.
Dua beranak di Kampung Tiak Kupang, Kedah mencetuskan idea baru mengeluarkan produk manisan tebu selepas kebun tebu yang seluas lebih satu hektar digunakan sepenuhnya untuk menambah pendapatan keluarga.
Hindon Abdullah,53, dan anaknya, Wan Hamidatun Wan Ishak, 24, yang mengusahakan kebun tebu ternyata tidak mempersiakan kerana memanfaatkan tebu bagi menghasilkan produk yang boleh dipasarkan dengan meluas.
Menjelaskan lebih lanjut Hindon berkata, selain menjual tebu dan airnya, beliau terfikir manisan tebu yang biasanya menjadi amalan orang terdahulu yang mengilhamkan pelbagai makanan untuk memenuhi cita rasa masing-masing.
“Oleh kerana pengeluaran tebu yang semakin banyak menyebabkan kami berusaha mengeluarkan manisan tebu istimewa ini,” katanya.
Menurut Hindon, walaupun proses membuat dan menghasilkan manisan tebu agak rumit dan mengambil masa yang lama, namun dia tekad untuk terus menjalankan perniagaan ini kerana mampu menambah pendapatan keluarganya.
Hindon menambah pada peringkat awal dia hanya memproses air tebu pada jumlah yang sedikit iaitu antara 30 hingga 50 kilogram sekadar mencuba.
“Selepas manisan tebu dihasilkan saya hanya menjual secara kecil-kecilan di tepi jalan berhampiran rumah,” ujarnya.
Tetapi ibu kepada enam anak ini tidak menjangka sambutan yang agak menggalakkan sehingga menerima banyak tempahan daripada orang ramai.
Tambahnya, pasaran pertama datang dari Kelantan kerana dia menjual ditepi jalan Kupang ke Grik dan Kelantan.
Manisan tebu keluaran Syarikat Gadis Tebu Enterprise ini ternyata kini menembusi bukan sahaja pasaran tempatan malah mendapat tempahan dari peniaga dari Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor Baharu.
Dari satu mesin memproses air tebu, kini syarikat berkenaan mempunya tiga mesin bagi mempercepatkan pengeluaran manisan tebu.
Bagi Wan Hamidatun, proses membuat manisan tebu memerlukan ketelitian termasuk memilih tebu terbaik bagi mengelak manisan mudah masam.
“Proses memilih tebu perlu dibuat dengan teliti kerana jika tersilap menyebabkan manisan menjadi masam,” katanya.
Mengenai proses membuat manisan, Wan Hamidatun berkata, selepas proses memilih tebu beliau akan mengikis batang tebu bagi membuang debu untuk mengelak termasuk ke dalam airnya selepas diperah.
Kemudian tebu akan dimasukkan ke dalam mesin bagi mengeluarkan airnya dan ditapis.
Menurut Wan Hamidatun, proses menapis dilakukan sebanyak dua kali bagi membuang sisa yang termasuk ke dalam airnya.
Proses seterusnya ialah memasak air tebu itu yang mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam.
Kini kedua-dua beranak tersebut mampu mengeluarkan antara 100 hingga 150 kilogram manisan air tebu.
Manisan yang siap dimasak akan disejukkan sebelum dibotol dan dilabelkan.
Tambah Wan Hamidatun, manisan tebu yang seberat 340 mililiter akan dijual dengan harga RM5.00 sebotol.
Selain dimakan begitu sahaja manisan tebu akan lebih enak lagi jika dicecah dengan roti.
Kebiasaan orang tua dahulu memilih manisan tebu untuk dimakan dengan ubi kayu atau dibuat pengat.
Penangan manisan tebu akan lebih bermakna dicecah dengan ubi kayu yang dimakan bersama parutan kelapa sudah cukup kesedapannya.
Bagi Wan Hamidatun, dia begitu teruja untuk memasarkan produk keluaran syarikatnya memasuki pasar raya besar kerana dia yakin produk seperti itu belum pernah menakluki pasaran tersebut.

Posted in Tebu | Leave a Comment »

Jus tebu telur ke Singapura

Posted by integratedfarm di Mei 17, 2009

RAMLI Ahmad memikul seikat tebu telur yang baru ditebang di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian, Jelebu, baru-baru ini.



JELEBU Mei – Mungkin ramai yang tidak tahu tanaman tebu telur yang diusahakan di sekitar kawasan Simpang Durian dekat sini menjadi pilihan utama sebuah syarikat pengilang air tebu di Johor untuk dibotol serta dipasarkan sebagai jus di Singapura.

Kadar kemanisan tinggi, warna hijau keemasan serta aroma harum air yang dihasilkan merupakan antara faktor utama tebu telur dari kawasan tersebut mendapat permintaan tinggi.

Faktor persekitaran yang sangat sesuai seperti iklim panas berpanjangan serta tanah liat berpasir di kawasan itu menyumbang kepada kualiti tinggi jus tebu telur yang dihasilkan.

Seorang pengusaha tanaman tersebut, Ramli Ahmad, 38, berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri banyak memberi bantuan dari segi memasarkan air tebu telur keluaran ladangnya untuk dieksport ke Singapura.

Katanya, permintaan tinggi terhadap air tebu telur dari Simpang Durian di negara jiran itu sememangnya satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

”Saya sangat gembira bila mengetahui FAMA negeri membekalkan tebu telur yang diusahakan di ladang saya kepada pengilang jus tebu untuk dieksport ke Singapura,” ujar Ramli ketika ditemui di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian dekat sini baru-baru ini.

Beliau menambah, ladang yang diusahakan dengan bantuan dua pekerja itu mengeluarkan 500 ikat tebu telur sebulan khusus untuk dibekalkan kepada FAMA.

Secara purata, beliau memperoleh kira-kira RM10,000 setiap musim hasil jualan tebu telur keluaran ladang seluas 4.8 hektar yang disewa daripada penduduk setempat sejak tujuh tahun lalu.

Ujarnya, dia merancang untuk menambah keluasan ladang tebu sebanyak 2.4 hektar lagi menjelang pertengahan tahun ini bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

”Bagi memastikan kualiti tebu terjamin, saya mengambil langkah-langkah kawalan penyakit seperti semburan racun makhluk perosak mengikut jadual yang ditetapkan.

”Di samping itu, Pejabat Pertanian Simpang Durian banyak memberi khidmat nasihat berhubung kaedah-kaedah penanaman serta penjagaan tanaman,” katanya.

Menurut Ramli lagi, kegiatan menanam tebu telur merupakan sumber pendapatan utama kepada keluarganya menjangkaui dua generasi.

Beliau memberitahu, bapanya, Ahmad Bidin, banyak memberi tunjuk ajar tentang ilmu yang diperlukan bagi menghasilkan tebu telur berkualiti tinggi.

”Kini, anak sulung saya, Mohd. Firdaus, 5, rajin menemani saya ke ladang. Dia turut membantu sekadar yang terdaya mengikut kemampuannya sebagai seorang kanak-kanak.

”Saya berharap Mohd. Firdaus akan mewarisi ilmu menanam tebu dan mengambil alih pengurusan serta memajukan ladang tebu telur yang sedang diusahakan ini apabila dia dewasa,” ujarnya.

Sementara itu, Pembantu Ehwal Ekonomi FAMA Simpang Durian, Nor Effindi Liki, 32, berkata, Ramli merupakan salah seorang daripada 20 pengusaha ladang kontrak di kawasan berkenaan yang menghasilkan tebu telur khusus untuk dipasarkan oleh FAMA.

Katanya, secara keseluruhan, keluasan ladang kontrak tanaman tebu telur di sekitar kawasan tersebut adalah sebanyak 50 hektar dan FAMA Simpang Durian berhasrat menambah hingga 10 lagi pengusaha baru menjelang penghujung tahun ini.

Sumber :utusan Malaysia

Posted in Tebu | Leave a Comment »

Jelebu pengeluar utama tebu telur

Posted by integratedfarm di Mei 17, 2009

JELEBU Mei – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengenal pasti daerah ini sebagai pusat pengeluaran utama tebu telur di negeri ini.

Timbalan Pengarahnya, Sokri Mohd. Nor, berkata, secara keseluruhannya nilai jualan tebu telur yang dipasarkan FAMA negeri adalah sebanyak RM475,000 setiap tahun.

Katanya, kira-kira 90 peratus hasil tebu telur yang dipasarkan FAMA negeri ditanam di sekitar daerah ini.

”Kualiti tinggi tebu telur yang ditanam di daerah ini menyebabkan ia menjadi pilihan sebuah syarikat pengilang air tebu di Johor yang mengeksport produk keluarannya ke Singapura,” ujarnya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang tanaman tebu telur Ramli Ahmad di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian dekat sini baru- baru ini.

Hadir sama Pegawai Pengembangan Cawangan Kualiti dan Standard FAMA, Abdul Rahim Abdul Ghani dan Pembantu Ehwal Ekonomi FAMA Simpang Durian, Nor Effindi Liki.

”Selain pasaran dalam negara dan Singapura, FAMA berhasrat memperluas pasaran jus tebu telur ke negara-negara lain terutamanya di rantau Timur Tengah.

”Kuantiti tebu telur yang diperlukan oleh pengilang akan meningkat sebaik sahaja pasaran-pasaran baru dibuka,” jelas beliau.

Sehubungan itu, ujarnya, FAMA negeri memerlukan lebih ramai pengusaha ladang kontrak khusus untuk membekalkan tebu telur berkualiti tinggi.

Sokri berkata, keutamaan akan diberi kepada pengusaha-pengusaha tanaman berkenaan yang beroperasi di sekitar daerah ini dan mereka boleh menghubungi FAMA negeri di talian 06-7635797 atau 06-7638959 serta laman web http://www.fama.gov.my untuk maklumat lanjut.

Sumber: Utusan Malaysia

Saranan :

Sebelum memilih sesuatu projek PASTIKAN PASARAN sudah ada untuk elakkan kerugian di akhir nanti. Sekadar renungan

Posted in Tebu | Leave a Comment »

Keistimewaan tanaman tebu

Posted by integratedfarm di Mei 8, 2009

PENANAM tebu boleh menarik nafas lega dengan adanya kemudahan di Batu Pahat, Johor.



RAMAI petani masa kini, tidak berminat untuk menanam tebu dan beralih kepada tanaman lain yang dianggap lebih menguntungkan.

Tanpa mereka sedari sebenarnya tebu lebih mudah untuk ditanam dan boleh mendatangkan hasil lumayan yang berterusan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Ini terbukti dengan peningkatan jumlah eksport tebu ke Singapura yang meningkat pada setiap tahun.

Bermula tahun 2004 dengan nilai eksport RM3.04 juta, ia berkembang hingga mencecah angka RM5.8 juta pada tahun 2007. Untuk tiga bulan pertama tahun tahun lalu sahaja, nilai eksport tebu ke negara jiran itu telah mencecah RM1.5 juta.

Justeru, bagi memastikan pembangunan industri tebu terus berkembang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di Batu Pahat, Johor.

Ia dibina di Lot 3421, Jalan Persekutuan Muar – Batu Pahat, Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat dengan kos RM4.5 juta dan telah beroperasi sejak awal tahun ini yang mana Purecane Manufacturing Sdn. Bhd. bertindak sebagai pengeksport.

Kompleks pertama

Ia merupakan kompleks pertama seumpamanya di negara ini bertujuan menyediakan kemudahan, peluang dan tempat rujukan kepada penanam-penanam tebu dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Ia menguruskan pengendalian tebu segar untuk tujuan eksport atau pasaran tempatan, pemprosesan tebu segar, pembungkusan dan penggredan.

Secara tidak langsung, kehadiran kompleks itu memberi impak positif kepada pengeksport, pemborong dan petani-petani di negeri-negeri terbabit serta mampu meningkatkan lagi hasil pengeluaran tebu negara.

Penubuhan kompleks itu juga bermatlamat untuk menggalakkan program pakatan pintar dan kerjasama antara sektor swasta dengan agensi kerajaan khususnya FAMA bagi membangunkan lagi industri tebu tempatan.

Selain itu, kompleks yang terletak di kawasan seluas 0.8 hektar itu juga bertujuan untuk menerapkan teknologi moden dan kendalian lepas tuai tebu segar selaras dengan keperluan semasa .

Ia juga memudahkan pihak berkuasa memberi pengiktirafan sijil Euregap, piawaian AVA Singapura dan lain-lain pengiktirafan.

Kompleks berkenaan dijangka dapat membantu pihak kerajaan dalam usaha menjadikan pertanian sebagai pendapatan negara dan menjadi pemangkin kepada individu terbabit agar lebih maju dan aktif.

Penubuhan kompleks berkenaan juga dapat meringankan beban pengeksport yang tidak berupaya menyediakan tempat pemprosesan mengikut tahap piawaian bagi tujuan pengeksportan yang mana Singapura adalah pasaran tradisi tebu Malaysia.

Pembinaan kompleks tersebut juga mampu meningkatkan pengetahuan di kalangan orang ramai terutama petani, pengeksport, pengusaha industri, untuk menjadikan pusat ini sebagai rujukan yang khusus mengenai tebu.

Pegawai FAMA Batu Pahat, Abd. Rahman Mohd. Nor berkata, FAMA telah memperkenalkan konsep ladang kontrak untuk tebu ini buat julung kalinya dengan melibatkan kira-kira 60 petani dari Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman Ladang Kontrak Tebu antara FAMA, petani dan pengeksport tebu Purecane Manufacturing Sdn. Bhd. telah diadakan tahun lalu.

Kompleks itu, katanya, membolehkan FAMA mendapat bekalan berkualiti secara berterusan untuk pembekalan kepada pelanggan, manakala petani mendapat jaminan pasaran sementara pengguna mendapat produk berkualiti.

Sekali gus, katanya, FAMA dan pengeluar bersetuju mampu mengeluarkan produk pada kualiti, kuantiti, jenis, pembungkusan, gred dan masa yang dipersetujui bersama mengikut peraturan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan).

Tambahnya di daerah Muar kawasan tanaman tebu adalah 173 hektar ,manakala di daerah Batu Pahat ialah 22.6 hektar. Ia terletak antara lima hingga 18 kilometer dari pusat pengumpulan tebu dan terdapat tujuh pengeksport tebu ke Singapura bagi daerah Muar dan Batu Pahat.

Pengurus Purecane Manufacturing Sdn. Bhd., Yumi Chee berkata, setiap hari sebanyak 10 tan tebu diperlukan untuk dieksport ke Singapura dan ia akan bertambah pada hari cuti umum atau perayaan iaitu peningkatan hingga 20 tan sehari.

Menurut Yumi, pihaknya juga sedang berusaha untuk memasuki pasaran Asia Barat dan perbincangan mengenainya telah pun diadakan.

Bagaimanapun, katanya, 30 tan tebu diperlukan setiap hari untuk di eksport ke Asia Barat tetapi bekalan tebu pada masa ini tidak mencukupi memandangkan para petani kurang berminat untuk menanam tebu.

Buat masa ini katanya, bekalan yang ada hanya cukup untuk di eksport ke Singapura dan yakin hasrat untuk eksport ke Asia Barat akan berjaya sekiranya para petani dapat membantu dengan menanam tebu secara komersial.

Menurut Abd. Rahman, FAMA sentiasa memberi ruang dan peluang kepada petani untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai penanaman tebu melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh agensi itu.

Setakat ini katanya, beberapa kursus mengenai tebu telah dibuat dan sambutan amat menggalakkan, tetapi kebanyakannya daripada golongan petani yang telah berusia. Untuk itu FAMA kini sedang berusaha untuk menarik golongan belia menyertai pertanian secara aktif.

Tambahnya lagi modal yang diperlukan untuk memulakan penanaman tebu secara komersial ialah RM20,000 untuk satu ekar dan penjagaannya tidak cerewet serta mudah untuk diuruskan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin menyeru agar para petani di sekitar DUN Semerah mengambil peluang yang ada dengan menanam tebu kerana pusat pengumpulan tebu yang di bina di Semerah ini merupakan yang pertama di Malaysia dan bekalan sentiasa diperlukan setiap hari.

Ariss yang melawat pusat pengumpulan tebu itu bersama para pegawai FAMA baru-baru ini melahirkan rasa teruja dengan adanya pusat pengumpulan tebu itu yang pastinya dapat menaikkan nama Batu Pahat.

Petikan dari Utusan Online..

Posted in Tebu | Leave a Comment »

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.