Jurnal Pertanian dan Penternakan Online

Informasi dan jualan produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Keluasan Ternakan Udang kolam 50,000 hektar

Posted by integratedfarm di Februari 24, 2009

PEMANDANGAN dari udara sebahagian daripada kolam udang milik CP Prima di Lampung, Sumatera Selatan, Indonesia.



PENTERNAKAN udang dunia didominasi oleh lapan buah negara iaitu Korea Utara, Thailand, Vietnam, Indonesia, India, Brazil, Ecuador dan Mexico.

Faktor utama kejayaan negara-negara itu menguasai pasaran udang antarabangsa adalah kerana faktor geografi iaitu mempunyai cuaca tropika, jajaran pantai yang panjang dan mempunyai kawasan luas sesuai untuk pembangunan kolam udang.

Pertumbuhan industri akuakultur dunia adalah stabil terutama melibatkan udang, bak kata Pengerusi CP Prima, Hardian Purawimala Widjonarko iaitu syarikat pengeluar udang terbesar Indonesia dan antara yang terbesar di dunia, ketika krisis ekonomi dunia sekalipun manusia akan tetap makan.

Lantaran itu pengeluaran udang di sentiasa meningkat sejak 1997.

Pada tahun 1997, pengeluaran keseluruhan udang di dunia adalah 0.95 juta tan metrik, manakala pada 2004 pengeluarannya telah meningkat kepada 1.8 juta tan metrik hasil daripada pertumbuhan tahun sekitar 9.8 peratus.

Penternakan udang kini termasuk kategori produk yang mewah dalam pasaran antarabangsa.

Sebelum 1980-an, udang ditangkap secara tradisional tetapi apabila penternakan udang diperkenalkan sehingga 2004, ia telah mencecah 37.9 peratus daripada keseluruhan industri penternakan akuakultur di negara itu.

Dengan pertumbuhan yang stabil, lebih banyak syarikat besar berani melabur untuk melaksanakan penternakan udang secara besar-besaran dengan kualiti yang tinggi.

Berbanding dengan udang ditangkap secara tradisional yang bergantung kepada musim dan kualitinya tidak dapat dikawal, ternakan udang mampu mengatasi masalah itu.

Apatah lagi ia mampu memenuhi permintaan yang tinggi, mengurangkan kos dan dapat dijual pada harga yang lebih rendah berbanding yang ditangkap berikutan peningkatan teknologi penternakan.

Syarikat ternakan udang terkenal, CP Prima yang ditubuhkan pada April 1980 oleh Charoen Pokphand Group misalnya telah lama bergiat dalam bidang tersebut.

Syarikat itu mempunyai pengalaman lebih 28 tahun mengendalikan akuakultur termasuk kolam udang secara besar-besaran.

CP Prima telah mencatat jualan bersih sebanyak Rp6.09 trilion (RM2.7 bilion) pada tahun 2007 dan yakin akan terus berkembang berdasarkan pasaran antarabangsa terus meningkat termasuk permintaan tempatan yang membabitkan industri hiliran.

CP Prima mempunyai 50,000 hektar kolam udang dan mempunyai 38,000 orang pekerja termasuk 12,500 pekerja sepenuh masa.

Baru-baru ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed telah melawat salah sebuah ladang ternakan syarikat berkenaan di Lampung yang terletak di Sumatera Selatan.

Mustapa ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, konsep plasma yang digunakan oleh syarikat berkenaan dalam melaksanakan penternakan udang adalah hampir sama yang dilaksanakan oleh Felda Berhad di dalam penanaman kelapa sawit di Malaysia.

CP Prima menyediakan rumah bagi pekerjanya untuk tinggal di kawasan kolam berkenaan dan kawasan berkenaan juga dilengkapi dengan kemudahan sekolah, pusat kesihatan, bank, balai polis, dewan orang ramai dan kawasan rekreasi.

Menurut Mustapa, para penternak terbabit diberikan seorang sebuah kolam dan mereka perlu menjelas bayaran kira-kira RM65,800 bagi sebuah kolam dalam tempoh lima tahun.

Kebanyakan penternak, katanya, tidak bermasalah untuk menyelesaikan hutang tersebut kerana pendapatan yang stabil.

Penternak terbabit memperoleh pendapatan kira-kira RM450 sebulan (selepas ditolak hutang) dan mereka juga boleh membeli barangan keperluan di kedai yang disediakan oleh syarikat dengan harga yang murah.

Selain gaji, syarikat berkenaan juga memberi barangan keperluan sebanyak kira-kira RM200 kepada para peserta dan ditolak daripada hasil udang yang dijual kepada syarikat pada hujung bulan.

Pendapatan RM450 sebulan adalah dianggap lumayan di Indonesia terutama di kawasan pedalaman seperti di Lampung kerana kebanyakan penduduk di kota Jakarta sendiri tidak mendapat pendapatan sebanyak itu.

Selain pendapatan yang lumayan mereka juga mempunyai rumah yang selesa dan kemudahan asas yang mencukupi berbanding penghuni di bandar-bandar utama yang kebanyakannya menghuni rumah-rumah setinggan.

Sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh syarikat berkenaan dibalas oleh pekerjanya dengan menghasilkan produktiviti yang tinggi dan berkualiti.

Keunikan hubungan majikan dan pekerja itu merupakan rahsia kejayaan syarikat berkenaan untuk muncul sebagai antara syarikat penternakan udang terbesar di dunia.

Dengan peningkatan pencapaian syarikat pelbagai program kemasyarakatan dan pemuliharaan alam sekitar telah dilaksanakan termasuk penanaman 3,100 hektar pokok bakau pada 2007.

Menjelang 2011, kawasan seluas 5,200 hektar pula akan ditanam dengan pokok berkenaan.

Penanaman pokok bakau bukan sahaja meningkatkan kawasan hijau di sekitar kolam udang, tetapi juga dapat mengelakkan daripada berlaku hakisan yang sekali gus memastikan udang yang diternak tidak terjejas.

Selain itu, hakisan pantai juga dapat dielakkan dan kehidupan di sepanjang pantai semakin meningkat.

Pada 2007, CP Prima mencapai tahap pengeluaran maksimum 3,856 kolam udang iaitu kira-kira 57,000 tan metrik setahun.

Bagi mengatasi masalah itu, CP Prima telah membeli Kumpulan Dipasena iaitu sebuah syarikat pengeluar udang terbesar di dunia di dalam satu kawasan yang terletak di Lampung.

Kolam-kolam udang yang menghasilkan pengeluaran rendah kerana hampir terbiar telah dipulihkan semula.

Kolam-kolam terbabit kata Hardian, apabila beroperasi sepenuhnya dan mencapai pengeluaran maksimum akan meningkatkan pengeluaran udang CP Prima kepada 200,000 tan metrik pada tahun 2010.

Keseluruhan eksport udang CP Prima adalah 58 peratus ke Amerika Syarikat, 20 peratus ke Eropah dan 17 peratus ke Jepun.

Kata Hardian, udang-udang yang dihasilkan diproses kepada pelbagai produk lain dan kebanyakan dieksport ke Amerika Syarikat.

Baru-baru ini sebuah syarikat dari Jepun turut berminat untuk mengimport udang dari CP Prima.

Kejayaan CP Prima mungkin boleh dilaksanakan di Malaysia, terutama Sarawak kerana bentuk geografi kawasan penternakan itu adalah sama dengan kawasan paya di Sarawak yang masih luas serta tidak berpenghuni.-Artikel dan gambar oleh BORHAN ABU SAMAH

Petikan dari Utusan Online…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: