Jurnal Pertanian dan Penternakan Online

Informasi dan jualan produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Hasil lumayan cili ubah hidup penanam tembakau

Posted by integratedfarm di Mac 19, 2009

PASIR PUTEH: Kegigihan mengusahakan tanaman cili sebagai ganti kepada tembakau, membolehkan seorang bekas petani tembakau dekat Gong Kulim, di sini meraih pendapatan bersih sehingga RM70,000 semusim daripada tanaman seluas 2.5 hektar.

Selain kawasan cili kulai yang sedang mengeluarkan hasil itu, Che Ahmad Che Kob, 60, kini membangunkan kawasan baru seluas empat hektar di Kemubu hasil sokongan Jabatan Pertanian, yang berpotensi menambah perolehan kepadanya sehingga RM90,000 semusim.

Kejayaan yang dicapai Che Ahmad adalah hasil penyertaannya dalam Program Pembasmian Rakyat Termiskin sejak 1994 yang dilaksanakan oleh Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Che Ahmad berkata, beliau terbabit dengan penanaman tembakau sejak 1970-an hinggalah pada 1994, namun tidak banyak mengubah hidup keluarganya apabila hanya memperoleh antara RM200 hingga RM300 sebulan, ekoran hasil yang kurang baik dan harga yang rendah.

“Ketika itu, pendapatan yang diperoleh hanya sekadar dapat menampung perbelanjaan harian anak sekolah dan makan minum keluarga. Ia amat menyedihkan apabila empat anak saya tidak mampu meneruskan pengajian hingga ke universiti kerana saya tidak mampu membiayai mereka ketika itu.

“Dalam kesulitan hidup itu, saya disenaraikan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang sebagai keluarga miskin tegar untuk menerima bantuan daripada YKK dan JPP Kelantan, yang kemudian menyalurkan input pertanian seperti baja dan benih cili bernilai RM5,000 untuk diusahakan kerana potensi pasaran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, menerusi langkah pertama itu, beliau berhasil meningkatkan pendapatan apabila memperoleh kira-kira RM800 sebulan sebaik cili yang ditanam mula mengeluarkan hasil.

Cili yang ditanamnya mula mengeluarkan hasil selepas mencapai tempoh matang enam bulan, mampu mengeluarkan hasil secara berterusan selama enam bulan sebelum dimusnahkan untuk tanaman sampingan sebagai selingan sebelum ditanam semula dengan benih cili.

Bagi memastikan penggunaan tanah pertanian yang maksimum, Che Ahmad mengusahakan tanaman labu madu dan tembikai wangi ketika tempoh peralihan yang menghasilkan sehingga tujuh tan hasil kebun semusim.

Che Ahmad berkata, beliau dibantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk memasarkan cili yang diusahakannya termasuk memenuhi kontrak jualan dengan syarikat pengeluar sos cili tempatan.

Meskipun meraih pulangan lumayan dan mampu mengupah pekerja, beliau lebih suka mengusahakannya sendiri sambil dibantu isterinya, Shamsiah Adam, 58, serta dua anak mereka yang masih tinggal di kampung.

Empat lagi anaknya kini melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan, manakala dua bekerja di Lembah Klang.

Kejayaan Che Ahmad membawa keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi tanaman cili itu, mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Peladang Jaya dan kini menjadi mentor kepada 10 penduduk miskin yang baru berkecimpung dengan tanaman itu.

“Dalam kesibukan menguruskan kebun cili, saya kini memberi bimbingan kepada 10 penduduk yang dikenal pasti oleh YKK dan JPP yang menyalurkan input pertanian bernilai kira-kira RM10,000 bagi satu musim tuaian.

“Impian saya kini mahu melihat mereka juga mampu mengikut jejak saya membawa keluarga keluar daripada kemiskinan dan setakat ini dua daripada mereka sudah mampu meraih RM30,000 semusim,” katanya yang turut mendapat pengiktirafan kerajaan menerusi anugerah Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Yang di-Pertuan Agong pada 1997.

Jika dulu sekadar kais pagi makan pagi, kini Che Ahmad mampu berbangga dengan apa yang dinikmatinya selepas setia berbakti kepada tanah apabila mampu memiliki tiga kenderaan serta membina dua rumah besar untuk keselesaan isteri dan anak-anak serta cucunya.

Malah hasil tanaman cili itu juga membolehkan beliau dan isterinya menabung dan menunaikan ibadat haji di Makkah.

Petikan dari Berita Harian online…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: