Jurnal Pertanian dan Penternakan Online

Informasi dan jualan produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Panduan Tanaman Halia

Posted by integratedfarm di Jun 3, 2009

Pengenalan

Halia (Zingiber officinale Rsc.) adalah tanaman yang diusahakan secara kecil-kecilan untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan. Rizom halia banyak digunakan sebagai rempah perasa dalam makanan dan ubat.

Halia ditanam samada sebagai tanaman tunggal atau selingan di tanah-tanah mineral dan gambut. Penanaman halia di tanah gambut mempunyai potensi sebagai tanaman kontan dan tanaman selingan. Halia biasanya ditanam di ladang-ladang nenas, kelapa sawit, getah dan buah-buahan.

Jenis-jenis Halia

Jenis-jenis utama yang ditanam di negara ini ialah Halia Bentong, Halia Taiwan dan Halia Indonesia.

Jenis Benton
Mempunyai rizom yang besar dan berisi bendalir (belendir dan berair). Warna keputih-putihan.

Jenis Taiwan
Mempunyai jari-jari rizom yang besar penuh berisi, berlendir dan sederhana pedas.

Jenis Indonesia
Mempunyai rizom yang panjang dan berwarna kuning muda.

PENANAMAN

Tanah dan Iklim:

Halia sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah (termasuk tanah gembur) yang mempunyai saliran baik serta gembur dan peroi, dan tidak menyekat tumbesaran rizom. Kajian menunjukkan halia hidup subur pada pH 5.5 hingga 6.5. Walau bagaimanapun ianya boleh juga ditanam di tanah gambut yang pH nya 3.8. Halia memerlukan taburan hujan sebanyak 200 hingga 260 cm setahun dan ia juga perlu sedikit naungan.

PERSEDIAAN BAHAN TANAMAN

Halia ditanam daripada keratan rizom tua yang berumur lebih pada sembilan bulan. Rizom yang berpenyakit eloklah dimusnahkan untuk mengelakkan merebaknya penyakit bakteria dan kulat halia.

Rizom-rizom disimpan di tempat teduh dan berangin selama dua hingga tiga minggu untuk percambahan tunas-tunas. Kemudian rizom dikerat 5 cm panjang dan mempunyai sekurang-kurangnya dua mata tunas.

Anggaran 25-33 keratan boleh didapati daripada 1 kg rizom. Keperluan bahan tanaman dianggarkan 1,500-2,000 kg rizom segar sehektar. Rizom-rizom direndam selama lima minit dalam larutan Bordeaux (4:5:50). Selepas itu keringkan semalaman sebelum menanam. Tujuan merendam dalam larutan tersebut ialah untuk mengurangkan berlakunya penyakit layu.

PENYEDIAAN TANAH

Tenggala dan gembur tanah sebelum menanam. Buatkan batas 30 cm tinggi 61 cm antara batas.

MENANAM DI LADANG

Sebaik-baiknya halia ditanam dalam bulan Februari dan Mac iaitu musim permulaan hujan. Ini membantu percambahan rizom-rozom. Musim kemarau berikutnya pula mengurangkan berlakunya penyakit layu.

Petani-petani biasanya mengamalkan jarak tanaman 25-30 cm empat persegi di Bukit Tinggi; dan 20 cm x 30 cm dua baris di Tanjung Sepat. Walau bagaimanapun jarak tanaman yang disyorkan ialah 60 cm dalam barisan. Jarak sebegini menggalakkan pembesaran rizom yang lebih subur dan memberi sejumlah 53,796 pokok sehektar.

Atur keratan-keratan rizom di atas batas. Gali lubang sedalam 15 cm dan letakkan rizom dengan ‘mata’ menghala ke atas. Kambus dan kejapkan tanah. Beri naungan kepada pucuk-pucuk baru yang muncul dalam masa 2-4 minggu selepas menanam.

PENJAGAAN

Pembajaan

Disyorkan mengikut keadaan tanah.

Tanah gambut – gunakan baja campuran yang mengandungi 73 kg N, 44 kg P2Os dan 236 kg K20 sehektar. Tanah bukan organan disyor menggunakan baja campuran yang mengandungi 56 kg N, 67 kg P2Os dan 112 kg K20 sehektar.

Merumput

Sekurang-kurangnya 1-3 pusingan merumput dibuat semasa membaiki batas-batas.

MEMUNGUT HASIL

Halia dituai sebagai halia muda yang berumur 41/2 – 5 bulan dan halia tua berumur 9 bulan selepas menanam. Kelewatan memungut hasilnya akan meninggikan kandungan sabut.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: