Jurnal Pertanian dan Penternakan Online

Informasi dan jualan produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Pekebun perit harga duku 50 sen sekilogram

Posted by integratedfarm di Ogos 20, 2009

Lambakan di pasaran apabila kemasukan buah dari Thailand, Indonesia

KUALA BERANG: Sehingga lima tahun lalu, musim duku adalah tempoh yang dinanti-nantikan pekebun kerana buah yang sinonim dengan Terengganu itu dapat dijual dengan harga antara RM3 hingga RM7 sekilogram, sekali gus menjanjikan pulangan baik untuk menampung sara hidup mereka sebagai petani.

Bagaimanapun, musim lumayan itu tidak kekal lama lantaran semakin banyak pokok duku yang ditanam menyebabkan lambakan di pasaran dan akibatnya, pekebun mula terasa perit apabila harga borong buah keluaran mereka kini dijual tidak lebih 50 sen sekilogram, tidak setimpal dengan penat lelah mereka.

Dengan harga itulah pekebun perlu mengagihkan untuk upah memetik dan menggred buah. Akan tetapi, pekebun tiada daya upaya untuk mengubah keadaan kerana bagi mengelakkan pembaziran mereka terpaksa juga menjual buah duku walaupun pada harga yang sangat rendah.

Bagi seorang pekebun duku, Fauzi Ilham, 32, dari Kampung Durian Bador, di sini, lambakan yang berlaku di pasaran adalah disebabkan kemasukan buah yang sama dari Thailand dan Palembang, Indonesia serta kawasan pasaran duku Terengganu yang terhad.

Selain kemasukan daripada negara asing, duku kini bukan lagi eksklusif di Terengganu malah ia turut subur di Kelantan dan Johor hasil program perkongsian benih diperkenalkan kerajaan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menyebabkan duku negeri ini tidak lagi dapat menembusi pasaran besar di negeri berkenaan.

“Bukan saja duku Terengganu tidak dapat menembusi pasaran berkenaan, malah pasaran di negeri ini sendiri turut ‘diganggu’ dengan kemasukan duku daripada negeri berkenaan, sementara yang diimport dari negara luar membanjiri pasaran utama di Lembah Klang,” katanya.

Mohd Hilmi Jaafar, 25, yang turut mengeluh kerana harga duku yang terlalu murah berkata pengeluaran serentak di Johor dan Kelantan menyebabkan lambakan serius hinggakan pemborong hanya dapat membeli pada harga 50 sekilogram daripada kebunnya dan dijual kepada peruncit antara 80 sen hingga RM1 sekilogram yang kemudian menjual kepada orang ramai pada harga antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram.

“Harga duku Terengganu beberapa tahun lalu dijual dengan harga antara RM3 hingga RM7 sekilogram,” katanya.

Ngah Embong, 65, dari Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu pula berpendapat lambakan ini akan dapat diatasi jika agensi kerajaan seperti Fama dan Mardi dapat membuat kajian bagi membolehkan musim berbunga dan berbuah yang tidak serentak di kalangan negeri pengeluarnya.

Masalah harga duku atau nama saintifiknya, lansium domesticum menyebabkan pekebun terpaksa meminta campur tangan agensi kerajaan. Rungutan pekebun sebelum ini menyebabkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membeli terus buah daripada pekebun untuk dipasarkan ke seluruh negara.

Sumber:Berita Harian

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: