Jurnal Pertanian dan Penternakan Online

Informasi dan jualan produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Negeri Sembilan tingkat sasaran hasil RM20j tahun depan

Posted by integratedfarm di Ogos 26, 2009

KUALA PILAH: Udang galah keluaran tempatan kini menjadi rebutan bukan saja di pasaran tempatan malah Singapura dan Thailand kerana rasanya yang segar dan manis.

Kelebihan itu menyebabkan udang galah mendapat permintaan menggalakkan di pasaran tempatan dan luar negara dengan harga yang tinggi antara RM35 hingga RM45 sekilogram.

Bagi memenuhi permintaan itu, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, menetapkan sasaran menghasilkan satu juta tan udang galah bernilai kira-kira RM20 juta menjelang tahun depan sekali gus menjadikan negeri ini sebagai hab industri penternakan udang galah terbesar di negara ini.

Tahun lalu, sebanyak 650,000 tan udang galah dihasilkan dengan nilai mencecah RM11 juta, sekali gus mengatasi jumlah pengeluaran Perak yang sebelum ini adalah pengeluar terbesar udang galah.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Wan Muhammad Aznan Abdullah, berkata pihaknya sudah merangka program bersepadu untuk meningkatkan pengeluaran udang galah sejajar dengan sasaran pengeluaran satu juta tan tahun depan sekali gus mampu memenuhi permintaan yang kian meningkat di pasaran.

“Program itu termasuk menambah bilangan pengusaha dengan menarik lebih ramai pelabur dan usahawan, selain mewujudkan kawasan penetasan benih dan menambah kolam penternakan di setiap daerah di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat, berkata kerajaan negeri membuka satu kawasan khas penetasan benih udang galah di kawasan Sungai Timun-Sungai Linggi, dekat Rembau, bagi membantu menampung permintaan hingga kira-kira 15 juta benih setahun.

“Ketika ini, penternak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan benih kerana proses pembenihan di negeri ini sekarang hanya mampu mengeluarkan 4.3 juta benih udang galah setahun.

“Kita berharap pembukaan kawasan pembenihan itu dapat menampung keperluan penternak serta pengusaha sekali gus melonjakkan stok pengeluaran udang galah seperti yang disasarkan jabatan,” katanya.
Sumber:Berita Harian

Tinggalkan komen