Jurnal Pertanian dan Penternakan Online

Informasi dan jualan produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Archive for the ‘Biri-biri’ Category

1,450 keluarga miskin bakal dapat faedah

Posted by integratedfarm di Ogos 3, 2009

Konsep APU yang mempunyai kapasiti 100 ekor biri-biri menjadi nadi pembangunan projek Agropolitan di Pekan, Pahang.


TIDAK ada perkara yang lebih menggembirakan bagi 1,450 keluarga miskin tegar termasuk 750 keluarga Orang Asli di Pekan, Pahang dengan pembangunan projek Agropolitan di kawasan itu yang bakal dilancarkan 4 Ogos ini.

Projek mega itu bakal memberi sinar kehidupan baru kepada mereka, dengan objektif utama meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 sebulan sekarang kepada RM1,500 apabila projek tersebut sempurna kelak.

Projek Agropolitan Pekan merupakan sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dilaksanakan melalui langkah pembangunan serantau bersepadu untuk membantu keluarga miskin tegar yang ditempatkan semula di kawasan baru di Tanjung Batu, Bebar dan Kubang Panjang di Lepar.

Yang menariknya, projek tersebut yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, akan mengubah wajah pembangunan kawasan sekitar dengan projek berdaya maju dan dijangka mewujudkan 5,000 pekerjaan baru.

Ia juga menandakan salah satu pencapaian Pelan Induk ECER, dan menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan di kawasan luar bandar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pertanian dan perladangan.

kELUARGA oRANG aSLI YANG BAKAL MENIKMATI PEMBANGUNAN YANG DIJANA MENERUSI PROJEK aGROPOLITAN.


Pada masa yang sama, projek tersebut akan membantu mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Selain itu, ia menyediakan pendapatan berterusan kepada keluarga miskin di ECER, seiring dengan hasrat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.

Pada satu taklimat media yang diadakan di kawasan tersebut baru-baru ini, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Zulkifli Yaacob berkata, satu keunikan projek Agropolitan ECER ini adalah pelaksanaan aktiviti-aktiviti utama, sekunder dan sokongan untuk para peserta.

”Satu lagi ciri-ciri projek ini adalah pendapatan dijana bukan untuk ketua keluarga sahaja, malah semua ahli keluarga mendapat manfaat daripada aktiviti sekunder dan sokongan,” katanya.

Katanya, aktiviti utama ialah perladangan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri, manakala aktiviti sekunder melibatkan aktiviti tambahan kepada aktiviti utama seperti penternakan ayam, sarang industri sarang burung, tanaman herba, inap desa, jahitan, akuakultur, akuaponik dan penanaman cendawan.

Aktiviti sokongan pula melibatkan bengkel latihan kemahiran, pembinaan pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) dan pusat Pengumpulan dan Pemasaran (CMC) bidaan serta pusat penyembelihan dan pemprosesan daging.

Menyentuh mengenai penternakan biri-biri sebagai satu daripada projek utama, beliau berkata, kaedah pelaksanaannya ialah menerusi pengenalan konsep unit ternakan haiwan (APU).

Sebanyak 250 APU akan dibina menempatkan 100 ekor biri-biri baka Dorper dan padang ragut seluas 44.2 hektar.

Menerusinya, seramai 50 peserta dipilih menjayakan projek perintis ternakan biri-biri di kawasan tersebut.

Projek tersebut dilaksanakan dalam tiga fasa dan dijangka siap menjelang tahun depan yang mana fasa pertama melibatkan pembangunan perladangan dan penternakan sebanyak 1,000 ekor ternakan.

Fasa kedua pula melibatkan peningkatan aktiviti ternakan kepada 8,000 ekor manakala fasa ketiga melibatkan 25,000 ekor.

Pusat pengeluar

Dengan pewujudan projek tersebut, Pekan bakal menjadi pusat pengeluar biri-biri Dorper pada masa akan datang.

Sebahagian peserta terdiri daripada masyarakat Orang Asli yang bakal menerima faedah di bawah projek ECER.


Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa, Droper merupakan baka kacukan Afrika Selatan, Dorset Horn dan Black Persian dan merupakan tahan baka lasa dan sukar meragut rumput.

”MARDI telah mula membawa masuk baka Dorper dari Afrika Selatan sejak 2006 bagi dan ditempatkan dalam ladang integrasi kelapa di stesen MARDI, Sungai Baging, Kuantan,” katanya.

Di bawah sistem APU, setiap unit akan dijaga oleh tiga peserta Orang Asli secara syif setiap empat jam dengan dibayar gaji. Bagi peserta lain, dua orang diberi tanggungjawab menjaga seunit APU.

Di bawah projek utama kedua iaitu perladangan sawit, ia melibatkan kawasan seluas 1,352 hektar dan bantuan Felda.

Menurut Pengurus dan Ketua Kilang Makanan, Felda Farm Products Sdn. Bhd., Khairudin Minhaj, pihaknya berperanan dalam menguruskan ladang di kawasan projek.

FELDA yang berperanan sebagai agensi pelaksana utama akan menguruskan para peserta, projek tersebut dan aktiviti-aktiviti berkaitan serta menguruskan aspek kewangan projek tersebut.

Sementara itu, Zulkifli menambah, peserta di pilih oleh kerajaan negeri menerusi program e-Kasih iaitu program pembasmian kemiskinan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat dalam projek.

Beliau berkata, mereka mendapat faedah daripada gaji yang diterima bekerja dalam aktiviti utama selain insentif dan juga kepentingan (share) dalam projek tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia.

Posted in Biri-biri | Leave a Comment »

Projek membawa sinar kepada peserta

Posted by integratedfarm di Ogos 3, 2009

sEBAHAGIAN PESERTA oRANG ASLI YANG BAKAL MENJADI NADI PEMBANGUNAN PROJEK AGROPOLITAN PEKAN.


Ada nada kegembiraan, harapan dan dan keyakinan yang diluahkan oleh peserta terpilih menyertai projek Agropolitan Pekan, Pahang.

Projek agropolitan itu dilaksanakan dengan matlamat untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar mencapai taraf hidup setanding dengan lain-lain kawasan di negara ini.

Keluarga miskin yang menyertai program penempatan semula menikmati banyak faedah dan nikmati terutamanya bekalan asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

Selain itu, kawasan penempatan semula juga akan disediakan kemudahan-kemudahan sosial seperti dewan masyarakat, masjid, perpustakaan, taman permainan dan pusat perniagaan.

Pada masa sama, setiap peneroka akan disediakan rumah dan tanah untuk tujuan pengkomersialan seperti penternakan haiwan, penanaman sayur-sayuran dan akuakultur.

Projek tersebut melibatkan dua golongan termasuk 750 peserta Orang Asli yang mana projek dilaksanakan berdasarkan konsep in-situ atau di kawasan realiti kampung mereka.

RUMAH UNTUK PENEMPATAN SEMULA PESERTA KALANGAN BUKAN oRANG ASLI.


Mereka tidak perlu meninggalkan kawasan kampung untuk menyertai projek yang dianjurkan, manakala baki golongan miskin tegar kedua melibatkan orang Melayu di Pusat Penempatan Tanjung Batu di Batu 8 yang bakal menghuni perumahan baru.

Rumah tiga bilik tersebut dibina dengan nilai RM35, 000 dan kini 100 unit sedang dibina di kawasan seluas lapan hektar yang akan turut menempatkan kemudahan lain seperti pusat latihan , penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan lain-lain.

Menurut Ketua Bahagian Pertanian dan Sosial, KLL Projects Sdn. Bhd., Rosemadi Hussain, pihaknya sebagai pembangun prasarana projek sedang bertungkus lumus menyiapkan semua yang dirancangkan termasuk kandang atau APU dan rumah penempatan di Batu 8 melibatkan kos RM6.8 juta.

“Setiap kandang biri-biri sebagai contoh, berkeluasan 9 meter x 18 meter daripada besi tahan karat dan direka bentuk untuk memuatkan maksimum 150 ekor kambing biri-biri,” katanya.

Kemudahan lain termasuk sistem tangki air mengikut keperluan ternakan dan prasarana asas kawasan APU. – LAUPA JUNUS

Posted in Biri-biri | Leave a Comment »

Timur: 30 Orang Asli sertai projek ternak biri-biri

Posted by integratedfarm di Julai 30, 2009

PEKAN: Seramai 30 Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) di Runchang, dekat sini, sudah mula bekerja sebagai penternak biri-biri menerusi projek Agropolitan bagi membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan tegar, sejak seminggu lalu.

Mereka yang juga sebahagian daripada 1,450 keluarga miskin tegar yang terbabit dengan projek itu, membiasakan diri memberi makan dan membersihkan enam kandang yang menempatkan 649 biri-biri jenis Dropers dari Australia.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer), Zulkifli Yaakob, berkata kumpulan Orang Asli berkenaan sudah dapat membiasakan diri dengan rutin harian baru mereka dan menunjukkan sikap positif.

“Mereka dapat menerima pekerjaan baru menternak biri-biri selepas seminggu berbuat demikian. Ia secara tidak langsung memberi harapan kepada mereka, projek ini membolehkan mereka memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan,” katanya ditemui sempena lawatan media ke tapak projek itu di Runchang, dekat sini semalam.

Zulkifli berkata, 649 biri-biri yang tiba Rabu lalu selepas menempuh perjalanan lebih 10 jam dari Australia, dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah tahap kesihatan biri-biri ini memuaskan dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini. Setakat ini, tiada yang mati dan kita akan terus memantau dan menyelenggara dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya kira-kira 20 peratus daripada haiwan yang diimport akan mati selepas seminggu mengikuti proses pemindahan kerana tekanan dan perubahan cuaca.

“Ini adalah satu kejayaan bagi kita sekali gus membuktikan bahawa kita membuat keputusan tepat memilih biri-biri ini bagi melaksanakan projek Agropolitan untuk membantu Orang Asli dan rakyat miskin tegar di daerah ini,” katanya.

Zulkifli berkata, semua biri-biri itu ditempatkan dalam enam unit pengeluaran haiwan (APU) yang diperbuat daripada besi galvani dan setiap satu memuatkan 100 biri-biri iaitu empat biri-biri jantan dan 96 ekor biri-biri betina.

Sementara itu, seorang peserta Orang Asli, Azlan Normien Awang, 22, berkata, kerja menternak biri-biri tidak susah kerana haiwan ternakan itu jinak dan mudah mesra dengan manusia.

“Pihak Ecer juga sudah menyediakan kursus asas ternakan biri-biri bagi memudahkan kami untuk melakukan kerja memberi makan dan membersihkan kandang,” katanya yang berasal dari suku Jakun.

Posted in Biri-biri | Leave a Comment »

Pekan pengeluar biri-biri

Posted by integratedfarm di Julai 19, 2009

KUANTAN 17 Julai – Projek Agropolitan Pekan yang akan dirasmikan pada 4 Ogos ini bakal menjadikan daerah itu sebagai pusat pengeluar kambing biri-biri negara pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata, projek agropolitan di Pekan itu melibatkan kawasan seluas 1,825 hektar dengan kos keseluruhan kira-kira RM90 juta.

Beliau berkata, seluas 1,000 hektar kawasan itu akan dimajukan dengan tanaman kelapa sawit manakala bakinya melibatkan projek ternakan kambing biri-biri, perumahan dan pusat penyelidikan.

“Di Agropolitan Pekan, perladangan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri dikenal pasti sebagai aktiviti utama.

“Aktiviti sekunder seperti inisiatif hiliran berkaitan kelapa sawit dan ternakan kambing biri-biri, industri sarang burung, jahitan, akuakultur dan tanaman cendawan juga disediakan,” katanya pada sidang akhbar di Santuary Resort, Cherating di sini hari ini.

Menurut Issace John, seramai 50 peserta dipilih untuk menjayakan projek perintis ternakan kambing biri-biri di kawasan tersebut.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut jelas beliau, pihaknya mengimport 1,000 ekor kambing biri-biri dari Australia membabitkan kos hampir RM2 juta.

Secara keseluruhan katanya, projek terbabit akan melibatkan 1,450 keluarga termasuk 750 keluarga Orang Asli.

“Projek tersebut dijangka mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baru dan meningkatkan pendapatan isi rumah miskin tegar daripada RM350 kepada RM1,500,” katanya.

Beliau memberitahu, Felda yang berperanan sebagai agensi pelaksana utama akan menguruskan para peserta, projek dan aktiviti berkaitan serta menguruskan aspek kewangan projek tersebut.

ECERDC pula katanya, akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek tersebut bagi memastikan setiap pencapaian projek disiapkan mengikut perancangan.

Beliau turut memberi jaminan hanya penduduk tempatan akan dilibatkan dalam projek tersebut bagi memastikan sasaran membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010 tercapai.

Sumber:Oleh YULPISMAN ASLI

utusanpahang@utusan.com.my

Posted in Biri-biri | Leave a Comment »

Teknologi baru ternak biri-biri

Posted by integratedfarm di Julai 8, 2009

Mardi bangunkan ladang contoh di Sungai Baging

KUANTAN: Kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) membangunkan ladang contoh ternakan biri-biri, bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi industri penternakan di negeri ini.

Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi Mardi, Dr Mohmad Mustaffa, berkata ladang contoh Sungai Baging di Jalan Kuantan-Kemaman di sini, kini mempunyai kira-kira 500 biri-biri baka Dorper kacukan yang dilepaskan di kawasan tanaman kelapa seluas 50 hektar. Beliau berkata, penternak dan bakal penternak dapat melihat sendiri teknologi yang dipamerkan malah mereka juga boleh menjalani latihan secara terus di ladang berkenaan.

“Kita akan mengetengahkan teknologi dalam bidang penternakan untuk merangsang perkembangan pembangunan industri penternakan biri-biri khususnya di Pahang,” katanya pada majlis Pelancaran Ladang Contoh Biri-biri di Stesen Mardi Sungai Baging, dekat sini, kelmarin.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan pegawai Mardi yang bertanggungjawab menyediakan laporan mengikut sistem kawalan dan melaksanakan keputusan yang ditetapkan pengurusan Stesen Mardi.

Beliau yang juga Ketua Projek Ladang Contoh berkenaan, berkata penternak boleh mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan kaedah penternakan biri-biri baka Dorper Afrika Selatan di ladang berkenaan yang berpotensi untuk dikomersialkan.

“Kita pilih baka dari Afrika Selatan yang digabungkan daripada baka biri-biri Parsi dan Dorset yang mana ia dipilih kerana mampu meningkatkan mutu genetik biri-biri tempatan.

“Baka ini juga dipilih kerana ia mampu menyesuaikan diri dengan iklim tempatan, kadar kenaikan berat badan yang tinggi, kadar kembar tinggi, pengeluaran susu yang banyak dan daging serta tulang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan membeli 500 biri-biri induk betina Dorper kacukan dan 20 pejantan Dorper tulen.

Mohmad berkata, Mardi sudah menyerahkan baka pejantan Dorper kacukan kepada enam penternak di negeri ini sebagai usaha meningkatkan kualiti ternakan berkenaan.

“Kita tidak boleh lagi menggunakan cara lama dalam aktiviti penternakan dan penggunaan teknologi ini bakal meletakkan usahawan pada kedudukan di hadapan dan lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, selain menghasilkan genetik baru melalui penyelidikan, Mardi bertanggungjawab menyediakan ladang dan infrastruktur asas ladang selain stok awal induk betina baka biri-biri Dorper kacukan dan Dorper tulen serta keperluan makanan tambahan dan veterinar.

“Mardi juga akan memantau keseluruhan projek supaya berjalan lancar dan memenuhi kehendak asal yang dipersetujui termasuk menyelesaikan masalah teknikal yang berlaku sepanjang pelaksanaan projek,” katanya.

Sumber:Berita Harian

Posted in Biri-biri | Leave a Comment »

Biri-biri pelengkap kambing

Posted by integratedfarm di Mei 8, 2009

Biri-biri Dorper dipelihara di bawah pokok kelapa di Stesen Mardi, Sungai Baging, Kuantan, Pahang.


Ternakan biri-biri boleh dikatakan masih baru kerana tidak terdapat penternak yang mengusahakannya secara komersial berbanding kambing.

Justeru, kerajaan telah memberikan keutamaan untuk mempertingkatkan industri daging kambing dan biri-biri untuk mengurangkan pergantungan kepada daging import.

Pada tahun 2005, bekalan daging kambing dan biri-biri import di pasaran tempatan melebihi 15,000 tan metrik atau 92.6 peratus daripada bekalan keseluruhan.

Populasi biri-biri tempatan dianggarkan berjumlah 115,500 ekor dan jumlah ini akan mempengaruhi pembangunan industri biri-biri negara.

Industri biri-biri boleh dikatakan masih di peringkat ‘bayi’ walaupun ternakan biri-biri sudah lama bertapak di sini.

Selama ini ternakan biri-biri dijalankan secara tradisional.

Walaupun baka seperti Dorset, Wiltshire horn, Suffolk dan biri-biri rerambut seperti Bali-Bali, Barbados Black Belly dan St. Ines dibawa masuk sejak 20 tahun lalu bagi meningkat prestasi biri-biri tempatan atau Malin tetapi baka yang dibentuk tidak pernah stabil.

Antara penyebab kelembapan industri biri-biri di negara ini adalah kekurangan baka berkualiti dan subur.

Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa berkata, biri-biri Dorper yang berasal dari Afrika Selatan merupakan baka baru yang berpotensi diternak di negara ini.

“MARDI telah mula membawa masuk baka Dorper dari Afrika Selatan sejak tahun 2006 bagi penilaian sebagai baka pejantan (terminal meat sire breed) untuk dikacukkan dengan biri-biri betina tempatan.

“Biri-biri Dorper yang dibawa masuk ditempatkan dalam ladang integrasi kelapa di stesen MARDI, Sungai Baging, Kuantan, Pahang,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor.

Kali kedua pada Julai tahun lalu, MARDI membawa masuk 220 ekor baka Dorper tulen dari Afrika Selatan.

Sebanyak 200 ekor betina dan 20 ekor jantan dibawa masuk bagi meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan MARDI untuk mengkaji kesesuaian baka dalam iklim dan persekitaran tempatan bertujuan penggandaan baka tulen dan kacukan dengan biri-biri tempatan.

Hasil kajian awal mendapati 150 ekor anak dilahirkan daripada baka pejantan Dorper yang dihasilkan di Sungai Baging telah menunjukkan pertambahan kadar tumbesaran lebih 30 peratus jika dibandingkan dengan anak biri-biri dari baka kacukan lain.

Dr. Mohmad berkata, sehingga kini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mula menternak biri-biri Dorper di beberapa buah ladang di Johor.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, baka biri-biri Dorper adalah setanding dengan kambing Boer.

”Jika kambing Boer sesuai dengan pelbagai jenis cuaca, biri-biri Dorper mempunyai ciri-ciri yang sama.

“Maklumat mendapati sejumlah lima juta biri-biri Dorper diternak di Afrika Selatan dan banyak negara seperti Australia, Amerika Syarikat dan Eropah telah mengimport baka tersebut untuk dibiakkan di tempat mereka,” katanya.

Dr. Mohmad menjelaskan, negara mengimport banyak daging biri-biri berbanding kambing. Ini kerana orang ramai tidak tahu membezakan antara daging kambing dan biri-biri.

Beza

“Daging kambing dikenali sebagai adalah chevon, manakala biri-biri adalah mutton dan biri-biri muda berusia empat bulan adalah lamb,” jelas beliau.

Beza antara chevon dan mutton adalah kandungan kolestrolnya.

Walaupun kandungan kolestrol dalam biri-biri lebih tinggi berbanding kambing tetapi kajian menunjukkan mutton mengandungi lebih banyak kolestrol berbanding lamb.

Dr. Mohmad berkata, biasanya berat badan biri-biri Dorper antara 30 hingga 40 kilogram (kg) ketika berumur enam hingga lapan bulan belum mengumpulkan lemak yang tinggi berbanding biri-biri import.

Baka biri-biri Dorper dibawa masuk bagi memenuhi keperluan penternak di Pantai Timur.

Baka tempatan bermutu rendah dengan dewasa hanya mencapai berat badan 20 hingga 25 kg dalam masa dua tahun.

Manakala baka Dorper tulen pula boleh mencapai berat 30 hingga 35 kg hanya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

“Kambing Boer dengan pengurusan yang teratur dan makanan berkualiti boleh mencapai berat badan antara 25 hingga 30 kg dalam masa tiga atau empat bulan,” katanya..

Seperti kambing Boer, biri-biri Dorper jenis rerambut dipilih kerana tidak menghadapi masalah ketegasan dan sesuai dengan keadaan lembap di negara ini.

Pengenalan baka biri-biri Dorper, kata Dr. Mohmad amat diperlukan memandangkan industri ternakan telah memberi sumbangan besar dalam pengeluaran makanan negara dengan jumlah RM5.729 billion.

Industri penternakan bukan ruminan seperti unggas telah menyumbang 94 peratus atau RM5.4 billion sementara sektor ruminan hanya enam peratus atau RM0.329 billion.

“Keperluan daging ruminan akan terus meningkat tahun demi tahun dan pergantungan kepada import perlu dikurangkan,” katanya.

Justeru agensi kerajaan dan swasta perlu berganding bahu dalam mewujudkan satu sistem pengeluaran yang produktif dan berdaya maju bagi meningkatkan bekalan tempatan dalam masa terdekat.

Industri ternakan ruminan perlu diteruskan dengan penumpuan kepada meningkatkan populasi pembiak.

Industri berkenaan perlu berkembang secara lebih agresif, sistematik serta moden dengan sekala komersial.

Pengenalan Baka Dorper

l Baka Dorper berasal dari Afrika Selatan telah dibangunkan dalam tahun 1900 hasil gabungan baka biri-biri Parsi dan Dorset.

l Ketika ini Dorper adalah baka biri-biri pedaging terulung di dunia.

l Di Afrika Selatan terdapat lebih lima juta ekor baka Dorper.

l Baka ini dipilih kerana dijangka berupaya menyesuaikan diri dengan iklim tempatan, kadar kenaikan berat badan tinggi, kadar kembar tinggi, pengeluaran susu yang banyak serta karkas berkualiti (nisbah daging kepada tulang yang tinggi).

l Baka ini mudah dipelihara dan tidak memerlukan tenaga pekerja yang ramai

l Ia dapat menggunakan makanan (pastura dan dedak secara optimum) dengan kadar kematian rendah dan imun terhadap penyakit dengan kadar kesuburan tinggi dan banyak anak dapat dipasarkan

l Baka yang menarik dan popular dari jenis pedaging dengan kesuburan yang tinggi dan berupaya untuk musim pembiakan yang panjang sepanjang tahun

l Baka ini sangat subur dengan kadar bunting yang tinggi dan pejantan boleh dikahwinkan dengan lebih 30 induk betina dalam masa 40 hingga 60 hari.

l Kadar kelahiran boleh dijadualkan setiap lapan bulan (tiga kelahiran dalam masa dua tahun) dengan kadar kembar yang tinggi. Dengan pengurusan yang baik kadar kelahiran lebih 150 peratus dapat dihasilkan

l Induk betina mempunyai ciri keibuan yang baik dan dengan penghasilan susu yang tinggi dapat memelihara anak dengan baik sehingga cerai susu dengan peratus cerai susu yang tinggi

l Kadar kenaikan badan yang tinggi. Dengan pemakanan yang baik anak baka tulen Dorper boleh mencapai berat badan 30 hingga 35 kilogram (kg) dalam masa tiga hingga empat bulan

l Mempunyai kualiti karkas yang baik dengan pertumbuhan lemak dalam daging yang serata menjadikan karkas mencapai Gred Super di pasaran

l Walaupun baka Dorper pada asalnya dibangunkan untuk dipelihara di kawasan panas dan kering di Afrika Selatan namun ia didapati sesuai dipelihara di pelbagai iklim dengan pemakanan yang pelbagai di dalam beberapa sistem pemeliharaan sama ada sistem intensif, semi-intensif atau bebas baik dalam kawasan padang pasir, tropika atau lembap.

l Pada masa ini terdapat 220 ekor Dorper tulen di negara ini dan MARDI sedang meningkatkan mutu baka sedia ada di Stesen MARDI, Kluang.

Di stesen MARDI Sungai Baging peningkatan genetik baka Dorper telah dilaksanakan melalui natural mating dan kaedah permanian beradas. Dijangka industri Dorper akan berkembang memandangkan bilangan import daging terus meningkat.

Petikan dari Utusan Online..

Posted in Biri-biri | Leave a Comment »