Jurnal Pertanian dan Penternakan Online

Informasi dan jualan produk pertanian, penternakan dan perikanan.

Archive for the ‘Buahan’ Category

TADC perlu ambil tindakan stabilkan harga

Posted by integratedfarm di Ogos 20, 2009

KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Coporation Sdn Bhd (TADC) perlu mengambil tindakan segera bagi menstabilkan harga duku untuk mengelak lambakan hasil pertanian itu di pasaran.

Malah, masalah dihadapi pekebun di Terengganu itu perlu mendapat kerjasama daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi memastikan duku yang sinonim dengan Terengganu dipasarkan ke Pantai Barat bagi membantu menyelesaikan masalah harga dan lambakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata beliau akan bincang dengan Fama bagi membolehkan duku Terengganu yang boleh dipasarkan antara Julai hingga Oktober, dijual di seluruh negara.

Beliau berkata, anggaran keluasan tanaman duku di daerah Hulu Terengganu saja membabitkan kawasan seluas 300 hektar dan daripada jumlah itu, seluas 265 hektar dikenal pasti dapat mengeluarkan sebanyak 250 tan semusim.

Katanya, Fama hanya mampu membeli sebanyak 100 tan dan bakinya dijual secara terus oleh pekebun kepada pemborong untuk pasaran tempatan.

“Terdapat 22 kampung atau kawasan utama pengeluaran duku di daerah Hulu Terengganu,” katanya.

Rozi berkata, masalah utama dihadapi pekebun ialah harga ditawarkan Fama iaitu RM1 sekilogram dan harga itu belum ditolak dengan pelbagai membayar upah memetik duku.

Katanya, pekebun duku juga diminta mencari kaedah lain terutamanya menghasilkan pelbagai produk berasaskan duku bagi menyelesaikan masalah kejatuhan harga pada masa musim yang akan datang.

Baru-baru ini Rozi juga mengarahkan duku Terengganu dijadikan sebagai pencuci mulut utama setiap jamuan dianjurkan kerajaan negeri dan agensinya bagi mengurangkan lambakan dan meringankan beban petani.

Masalah dan rungutan pekebun mengenai harga duku di negeri ini mendapat perhatian Pengerusi Fama, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin apabila beliau membuat lawatan mengejut dan berjumpa sendiri dengan pekebun duku di Pusat Pengasingan Duku di Kampung Durian Bador, Kuala Berang, baru-baru ini.

Lantara itu, Badruddin berkata, Fama diarah mengambil tindakan segera untuk mengurangkan masalah lambakan duku di Pantai Timur dengan memasarkan duku ke beberapa negeri di Utara dan Pantai Barat, selain menaikkan harga belian daripada RM1 sekilogram kepada RM1.20 sen sekilogram.

Katanya, jika duku Terengganu dapat dipasarkan ke beberapa negeri di Utara dan Pantai Barat, masalah harga jualan yang terlalu rendah membelenggu pekebun selama ini akan dapat diatasi.

Posted in Buahan | Leave a Comment »

Pekebun perit harga duku 50 sen sekilogram

Posted by integratedfarm di Ogos 20, 2009

Lambakan di pasaran apabila kemasukan buah dari Thailand, Indonesia

KUALA BERANG: Sehingga lima tahun lalu, musim duku adalah tempoh yang dinanti-nantikan pekebun kerana buah yang sinonim dengan Terengganu itu dapat dijual dengan harga antara RM3 hingga RM7 sekilogram, sekali gus menjanjikan pulangan baik untuk menampung sara hidup mereka sebagai petani.

Bagaimanapun, musim lumayan itu tidak kekal lama lantaran semakin banyak pokok duku yang ditanam menyebabkan lambakan di pasaran dan akibatnya, pekebun mula terasa perit apabila harga borong buah keluaran mereka kini dijual tidak lebih 50 sen sekilogram, tidak setimpal dengan penat lelah mereka.

Dengan harga itulah pekebun perlu mengagihkan untuk upah memetik dan menggred buah. Akan tetapi, pekebun tiada daya upaya untuk mengubah keadaan kerana bagi mengelakkan pembaziran mereka terpaksa juga menjual buah duku walaupun pada harga yang sangat rendah.

Bagi seorang pekebun duku, Fauzi Ilham, 32, dari Kampung Durian Bador, di sini, lambakan yang berlaku di pasaran adalah disebabkan kemasukan buah yang sama dari Thailand dan Palembang, Indonesia serta kawasan pasaran duku Terengganu yang terhad.

Selain kemasukan daripada negara asing, duku kini bukan lagi eksklusif di Terengganu malah ia turut subur di Kelantan dan Johor hasil program perkongsian benih diperkenalkan kerajaan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menyebabkan duku negeri ini tidak lagi dapat menembusi pasaran besar di negeri berkenaan.

“Bukan saja duku Terengganu tidak dapat menembusi pasaran berkenaan, malah pasaran di negeri ini sendiri turut ‘diganggu’ dengan kemasukan duku daripada negeri berkenaan, sementara yang diimport dari negara luar membanjiri pasaran utama di Lembah Klang,” katanya.

Mohd Hilmi Jaafar, 25, yang turut mengeluh kerana harga duku yang terlalu murah berkata pengeluaran serentak di Johor dan Kelantan menyebabkan lambakan serius hinggakan pemborong hanya dapat membeli pada harga 50 sekilogram daripada kebunnya dan dijual kepada peruncit antara 80 sen hingga RM1 sekilogram yang kemudian menjual kepada orang ramai pada harga antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram.

“Harga duku Terengganu beberapa tahun lalu dijual dengan harga antara RM3 hingga RM7 sekilogram,” katanya.

Ngah Embong, 65, dari Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu pula berpendapat lambakan ini akan dapat diatasi jika agensi kerajaan seperti Fama dan Mardi dapat membuat kajian bagi membolehkan musim berbunga dan berbuah yang tidak serentak di kalangan negeri pengeluarnya.

Masalah harga duku atau nama saintifiknya, lansium domesticum menyebabkan pekebun terpaksa meminta campur tangan agensi kerajaan. Rungutan pekebun sebelum ini menyebabkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membeli terus buah daripada pekebun untuk dipasarkan ke seluruh negara.

Sumber:Berita Harian

Posted in Buahan | Leave a Comment »